REFLEKSI ISRAK & MIKRAJ
Anugerah Teragung, Tanah Suci & Seorang Khalifah
Oleh: Najmuddin Mohd Nawi (Presiden GPTD)
Bulan Rejab menjelang lagi. Tarikh 27 Rejab sering disambut setiap tahun, dinisbahkan sebagai tarikh berlakunya peristiwa Israk Mikraj. Sebagai kisah yang diulang bicara saban tahun. Namun, apa istimewanya peristiwa Israk Mikraj kepada kita, khususnya generasi hari ini?
Selain daripada perjalanan Rasulullah SAW yang menakjubkan, Israk Mikraj juga diwarnai dengan latar belakang yang amat berharga untuk diambil pengajaran. Sebelum terjadinya peristiwa hebat yang dirakamkan sendiri oleh Allah SWT dalam Surah al-Israk, rupanya telah berlaku rentetan peristiwa yang sangat mencengkam hati Baginda.
Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah SAW telah kehilangan dua orang yang sangat rapat dan amat mengasih Baginda, dalam tahun yang sama. Tahun ini dinamakan ‘Tahun Dukacita’ dalam Sirah Nabi. Pemergian bapa saudara, Abu Talib dan isteri, Sayidatina Khadijah ternyata meruntun hati Baginda.
Menurut Dato’ Hj. Ahmad Azam, sebagai suatu perbandingan, kehilangan dua tokoh yang sangat berjasa kepada Rasulullah SAW ini seumpama hilanganya penaung politik dan ekonomi dalam perjuangan menegakkan Islam dalam konteks hari ini. Ini menggambarkan betapa gentingnya ujian ke atas proses dakwah yang dilalui Baginda.
Dalam Al-Rahiq al-Makhtum, Syeikh al-Mubarakfuri telah menyatakan kaum Quraisy menyakiti Rasulullah SAW dengan lebih teruk selepas kematian Abu Talib. Selepas kesedihan berganda ini, Rasulullah SAW meneruskan misi dakwah Baginda ke Taif, dengan diiringi oleh anak angkatnya, Zaid bin Harithah RA.
Di Taif, dakwah Baginda tidak disambut, bahkan dicerca dan dihalau oleh para penduduk Taif. Diriwayatkan Rasulullah SAW telah dilempari batu sehingga sepatu yang dipakai Baginda dibasahi darah, manakala Zaid yang cuba melindungi baginda pula luka kepalanya.
Selepas inisiden ini, Rasulullah SAW telah berdoa dengan doa yang amat mengesankan sesiapa yang mendengarnya. Ringkasnya, selepas daripada itu, Allah SWT telah mengutuskan malaikat penjaga bukit kepada Rasullah SAW. Malaikat bukit telah menawarkan untuk menghempaskan dua buah bukit ke atas kaum yang telah mengingkari Rasulullah SAW, sekiranya Baginda mahu. Sebaliknya, Baginda menolak tawaran itu bahkan berdoa agar generasi selepas mereka akan menjadi generasi yang beriman.
Selepas insiden tersebut, Rasulullah SAW dan Zaid pulang ke Makkah. Diriwayatkan Baginda hanya dapat kembali ke rumahnya dengan selamat selepas mendapat jaminan keselamatan oleh al-Mut’im bin Adiy. Al-Mut’im dan kerabatnya telah mengiringi Rasulullah SAW dengan senjata sehingga Baginda dapat kembali ke Makkah, kemudian Baginda bersolat di penjuru Kaabah dan pulang ke rumah Baginda tanpa diganggu.
Hadiah Israk Mikraj dan Pengajarannya
Berlatarbelakangkan keadaan yang genting inilah Rasulullah SAW telah dihadiahkan oleh Allah SWT dengan peristiwa agung ini. Ketika itu, Rasulullah SAW telah dianugerahkan Allah untuk diperjalankan daripada Makkah ke Masjid al-Aqsa yang kini terletak dalam wilayah Palestin.
Dari Masjid al-Aqsa, baginda dinaikkan pula hingga langit ketujuh, kemudian ke Sidratul Muntaha, dan seterusnya mendapat perintah untuk melaksanakan solat 5 waktu sehari semalam.
Peristiwa Israk Mikraj menjadi bukti yang Rasulullah SAW tidak sekali-kali akan disia-siakan oleh Allah SWT, walau sebesar manapun kesukaran yang dialami Baginda demi menjayakan dakwah dan perjuangan Islam.
Kesulitan besar yang dihadapi Rasulullah SAW sejak dari awal kenabian, kemudian dituruti pula kedukaan pada Tahun Kesedihan, seterusnya gangguan Quraisy yang semakin meningkat selepas itu, diubati Allah dengan kefardhuan solat. Kepentingan dan hikmah solat sering ditekankan Rasulullah SAW dalam sunnah Baginda, bahkan diriwayatkan dalam sekian banyak hadis.
Solat adalah waktu seorang hamba sangat hampir dengan Tuhannya. Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, Kitab as-Solat, hadis no. 395, Allah SWT menjawab bacaan Surah al-Fatihah dalam solat para hamba-Nya, bahkan akan mengabulkan doa para hamba-Nya.
Selepas Israk Mikraj, tiada cubaan dan dugaan yang tidak dapat Rasulullah SAW serta para sahabat hadapi. Bahkan Islam tersebar luas selepas itu dan akhirnya Baginda sendiri yang memimpin pasukan Muslimin kembali menguasai Makkah.
Dalam mengulas peristiwa dan pengajaran Israk Mikraj, Dato’ Hj. Ahmad Azam menyimpulkan bahawa sebesar mana musibah, gangguan, ujian, kesusahan, bahkan hajat dan harapan; kunci penyelesaiannya ialah solat.
Dengan mendirikan dan memelihara solat, musibah dan dugaan yang dihadapi akan diberikan jalan keluar, bahkan akan dikabulkan pula oleh-Nya apa-apa yang dihajati.
Palestin dan Sultan Abdul Hamid II
Peristiwa Israk Mikraj telah berlaku di dua lokasi yang penting di muka bumi ini, iaitu tanah suci umat Islam, Masjid al-Haram, Makkah dan Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis (Palestin).
Berbanding Makkah dan Madinah, tanah suci umat Islam ketiga ini tidak terjajah melainkan setelah berlakunya huru-hara politik umat Islam yang menyaksikan seorang khalifah yang melindungi tanah suci ketiga ini digulingkan dan diikuti dengan penghapusan institusi kekhalifahan.
Sebelum Palestin berjaya dirampas, semua khalifah telah mempertahankan tanah suci ketiga ini dengan bersungguh-sungguh. Walaupun pernah dikuasai oleh Tentera Salib buat beberapa ketika, Salahuddin Yusuf al-Ayyubi berjaya mewarisi kembali tanah suci ini dan ia kekal di bawah pemerintahan umat Islam sehinggalah dijajah kembali pada 14 Mei 1948.
Sebelum penjajahan pada tahun 1948, tanah Palestin pernah diminta secara langsung oleh pemimpin Yahudi Zionis, Theodore Hertzl dengan menawarkan sejumlah wang kepada Khalifah Islam, Sultan Abdul Hamid II pada 19 Mei 1901.
Jawapan tegas Sultan Abdul Hamid II yang menyatakan akan mempertahankan tanah Palestin sekalipun menjadikan nyawa baginda sebagai taruhan, telah membakar semangat Zionis untuk merampas tanah Palestin.
Sejak itu, pelbagai perancangan telah disusun, bermula dengan penggulingan Sultan Abdul Hamid II dan kemudian pemansuhan institusi Khilafah, telah menyediakan jambatan ke arah penjajahan Palestin.
Sejak daripada itu, situasi umat Islam di seluruh dunia menjadi kacau-bilau. Sehingga kini, umat Islam direndah-rendahkan, ditindas, diperlakukan sesuka hati bahkan tanah-tanah umat Islam telah dirampas dan dijarah sesuka hati oleh musuh mereka. Bagaimanakah umat Islam hari ini dapat merungkai segala kekalutan ini?
Jika kita benar-benar menginsafi dan mengambil pelajaran daripada peristiwa Israk Mikraj, jawapannya sangat terang – iaitu dengan mendirikan solat dan memeliharanya. Jika seluruh umat Islam dapat melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh, yakinlah, insha Allah, Allah pasti akan menunjukkan jalan keluarnya.
Sesungguhnya solat itu sendiri menunjukkan disiplin yang perlu dipatuhi untuk mencapai kejayaan, antaranya:
- Laksanakan setiap tindakan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata
- Patuhi waktu
- Utamakan ganjaran akhirat berbanding dunia
- Bertindak secara berjemaah
- Tidak menindas dan mengganggu orang lain
- Mengikut sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat
Mudah-mudahan umat Islam akan kembali menemui kemuliaan, kedamaian dan keredhaan Allah SWT. Amiin.