ASTRONOMI ISLAM DI MALAYSIA; DAHULU DAN KINI

Oleh: Nadia Farhana binti Shafeed Affendy. et al.

Al-Quran sebuah kitab suci yang lengkap dan sempurna merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia serta alam semesta dengan keluasan ilmu yang merangkumi ilmu dunia dan akhirat seperti ilmu sains, ilmu geografi, ilmu ekonomi, ilmu ghaib dan perundangan islam. Terdapat banyak isyarat-isyarat sains yang terdapat dalam al-quran seperti di angkasa tiada oksigen ( al-An’am :125), proses kacukan tumbuhan ( al-Hijr :22), tentang cahaya dan sinar (Surah Yunus : 5). Dalam perbahasan ini, menarik untuk diketengahkan satu kajian yang telah dilaksanakan oleh Dr. Danial Zainal Abidin dalam bukunya Quran Saintifik di mana beliau banyak menggunakan pendekatan sains dalam membenarkan perbahasan agama. Beliau mengutamakan penerokaan ilmu sains yang sememangnya akan menimbulkan rasa kagum dan takjub akan kebesaran Allah. Hal ini kerana, para saintis islam telah mengakui bahawa semua teori dan kajian yang telah dilakukan khususnya dalam bidang sains ternyata telah pun tercatat di dalam kitab suci Al-quran yang telah lama diturunkan. Maka jelaslah bahawa kehebatan al-quran sangat di luar jangkaan kerana kitab suci ini mempunyai mukjizat yang tersendiri dan mustahil bagi manusia untuk menandinginya.

Ilmu sains terhasil dengan cerapan dan pemerhatian yang bersumberkan akal manusia  manakala agama merupakan wahyu dan pedoman daripada Allah. Oleh sebab itu, hasil pengkajian ilmu sains bersifat relatif dan sentiasa berubah-rubah tetapi sifat ilmu agama yang bersumberkan al-Quran adalah mutlak.Para saintis berpendapat bahawa sains tanpa agama adalah buta dan agama tanpa sains adalah cacat. Selain itu, segala penemuan sains mestilah bersandarkan keimanan kepada Allah.Konsep ini disebut sebagai sains tauhidik dimana akan melahirkan umat Islam yang mempunyai tradisi keilmuan yang tinggi dan ketaqwaan kepada Allah akan meningkat.Terdapat pelbagai bukti penemuan  kajian saintifik bertepatan dengan ayat al-quran  berhubung dengan kehidupan manusia dan alam semesta (Abidin, 2014).

Dalam usaha merungkai penerokaan bidang sains di dalam Al-Quran ini, satu bidang ilmu yang sangat menarik dapat diketengahkan juga iaitu berhubung dengan ilmu astronomi. Penerokaan ilmu ini sangat penting dan banyak diceritakan di dalam Al-Quran serta terdapat banyak isyarat ayat-ayat berkenaan dengan bidang astronomi. Hal ini sangat menarik jika diperkukuhkan dan dihubungjalinkan dengan bidang pendidikan khususnya dalam subjek Pendidikan Islam. Tujuan integrasi dan kesepaduan elemen saintifik dalam ilmu agama adalah demi melahirkan generasi yang dapat menggunakan akal dengan sempurna bagi mengkaji dengan teliti sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektif yang betul atau lebih sesuai digelar generasi “Ulul Albab”.

Sejarah Kewujudan Astronomi di Tanah Melayu

Daripada jurnal hasil tulisan Aizan & Khadijah, 2015 ada memetik hasil daripada kajian Andrea Acri, 2011 yang mengatakan pada awalnya kedatangan ilmu astronomi ke alam dunia Melayu berpunca oleh agama Budhha dan Hindu dan dibuktikan dengan kewujudan Borobudur di Jawa yang boleh dikaitkan dengan pengiraan masa dan pembuatan kalendar. Namun begitu, selepas kedatangan islam ke alam Melayu banyak ulama’ yang mempelajari ilmu telah mengembangkan islam dengan membawa keperluan falak dalam kehidupan seperti penentuan arah kiblat dan penentuan waktu-waktu solat di Malaysia telah merancakkan lagi penggalian ilmu ini, manakala dalam ikhtiar hidup seperti ilmu pelayaran, pengukuran, penentuan waktu serta sistem takwim yang lebih sistematik juga diperlukan (Ali et al., 2015). Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa kedatangan dan perkembangan ilmu falak di Malaysia atau Tanah Melayu adalah serentak dengan kedatangan Islam pada ketika itu.

Bukti dan peninggalan sejarah mengenai kewujudan Astronomi di Malaysia

Berdasarkan jurnal daripada Aizan & Khadijah, 2015 telah merujuk buku karangan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (1984), The correct date of the Terengganu inscription: Friday berkenaan bukti yang jelas yang boleh dilihat bermula awalnya islam bertapak dengan penggunaan takwim hijrah di Tanah Melayu apabila peninggalan monumen batu bersurat di Terengganu sebagai bukti. Ini kerana, salah satu ilmu falak yang mesti dipelajari adalah tentang tarikh dan sistem kalendar Islam. Pada Batu Bersurat yang dijumpai di Kampung Tersat, Kuala Berang, Terengganu, terdapat catatan yang berkaitan dengan penggunaan takwim Hijri, iaitu: “Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di sasanakala Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua”. Beliau juga menyatakan tarikh yang ditunjukkan dalam kandungan batu bersurat tersebut ialah Jumaat, 22 Februari 1303 Masihi bersamaan Rejab 702 H.  Selain itu, bukti sejarah yang lain adalah batu nisan makam para Sultan seperti Batu Nisan Makam sultan Muzaffar Shah di Kampung Langgar, Lembah Bujang Merbok, Kedah. 

Disamping itu, di dalam buku Takwim Hijri Isu dan Pengurusan oleh Mohd Shukri & Shahir, 2016,  telah menyatakan satu kisah menarik yang dikongsikan oleh Nor Azam lagi ialah mengenai penentuan pemilihan tarikh kemerdekaan oleh Sheikh Abdullah Fahim. Tarikh 31 Ogos 1957 telah dipilih sebagai tarikh hari kemerdekaan setelah diusulkan oleh Sheikh Abdullah Fahim. Beliau yang mengambilkira kedudukan dan perjalanan buruj sebagai pedoman telah mengusulkan tarikh tersebut sebagai tarikh yang baik dalam tahun tersebut (Safiai & Ibrahim, 2016).

Ulama yang memperkenalkan Astronomi di Malaysia

Ada banyak Ulama’ yang berjasa mengembangkan astronomi Islam di dunia Melayu (Indonesia-Malaysia) antaranya yang terkenal ialah Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari. Beliau ini memberi sumbangan terbesar akan kewujudan ilmu astronomi di Malaysia untuk menghargai jasa beliau telah didirikan Pusat Falak Syeikh Tahir Jalaluddin di Pulau Pinang (Azhari, 2010).

Di dalam hasil penulisan Syeikh Tahir banyak merangsang minda umat islam betapa majunya bangsa eropah sehingga dalam keilmuan falaknya juga beliau banyak melakukan banyak pembaharuan dari segi pengiraan dan data-data falak dengan mengikuti cara dan kaedah yang digunakan oleh bangsa eropah pada ketika itu. Sebagai contoh kitab Pati Kiraan pada Menentukan Waktu yang Lima dan Hala Kiblat dengan Logaritma yang diselesaikan di Kuala Kangsar Perak dan diterbitkan di Al-Ahmadiyah Press Singapura (Muslifah, 2013).

Antara tokoh lain yang turut membangun dan mengembangkan astronomi Islam di Malaysia adalah Tuan Haji Mohd. Khair bin Hj. Mohd Taib (8 September 1922 – 28 Oktober 1989) yang juga merupakan murid kepada Syeikh Tahir. Beliau merupakan salah seorang yang mengasaskan Persatuan Falak Syarie Malaysia (7 Oktober 1983).

Perkembangan terkini Astronomi di Malaysia dari segi Pendidikan

Bermulanya perkembangan ilmu astronomi di Malaysia dalam bidang Pendidikan bermula pada tahun 1981 oleh Tuan Haji Mohd Khair menjadi kakitangan jemputan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pengajian ilmu astronomi Islam (Falak) menjadi satu subjek khusus ketika itu dan seterusnya tertubuhnya Unit Falak di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM (Man et al., 2012).

Antara Universiti di Malaysia yang menyediakan dan menggalakkan Pendidikan, pelatihan, pameran dan seminar dalam bidang subjek astronomi atau falak adalah Universiti Malaya di Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam yang mengadakan program khas falak syar’i yang berusaha memadukan antara falak syar’i dan falak ilmi. Selain itu, di Universiti Darul Iman Malaysia telah dibuka Ijazah Pasca Siswazah Astronomi Islam (Azhari, 2010).

Adapun tokoh-tokoh yang memiliki perhatian dalam bidang astronomi Islam, di Malaysia antaranya Prof. Dr. Mohammad Ilyas di (USM), Syed Kamarulzaman (Ketua Persatuan Falak Syar’i Malaysia), Dr. Kassim Bahali (Balai Cerap Al-Khawarizmi), Dr. Ibnor Azli bin Ibrahim (Universiti Kebangsaan Malaysia. Prof. Dr. Mohd Zambri Zainuddin dan Prof. Madya Dr. Baharrudin Zainal merupakan antara tenaga profesional, pakar astronomi Islam dan penggerak yang menyebarkan ilmu falak pada masa kini khususnya di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Darul Iman (UNISZA). Prof. Dr. Mohd Zambri Zainuddin yang sentiasa menjadi rujukan Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan dalam seminar-seminar dan kursus-kursus teleskop dan ilmu astronomi kepada kakitangan dan pelajar-pelajar sekolah sejak 2 dekad lalu sehingga kini (Hamzah, 1988).

Tentang Penulis

You may also like...