6 Peperangan Sultan Süleyman I dalam Drama Bersiri Muhteşem Yüzyıl

Cover

Muhteşem Yüzyıl merupakan sebuah drama bersiri Turki yang mengisahkan tentang kisah seorang sultan Dawlah Uthmaniyyah yang terhebat iaitu Sultan Süleyman I. Ia telah mula ditayangkan pada 5 Januari 2011 dan berakhir pada 11 Jun 2014. Baginda juga dikenali sebagai Suleiman the Magnificent oleh narasi Barat manakala Sultan Sulaiman al-Qanuni oleh narasi Arab. 

Apa yang Menarik Tentang Drama Bersiri Ini? 

Tidak dapat dinafikan bahawa drama bersiri tersebut telah mendapat reaksi negatif oleh sejarawan tempatan disebabkan oleh pemaparan gaya hidup baginda sultan yang terlalu berlebihan seperti filem-filem Holywood. Bukan itu sahaja, ia juga menunjukkan imej yang negatif sebagai seorang sultan dan pemerintah umat Islam. 

Sungguhpun begitu, drama bersiri yang memiliki sebanyak EMPAT musim dan ditayangkan sebanyak 139 episod ini bagi penulis memiliki babak-babak yang penting untuk diketengahkan. Babak yang dimaksudkan adalah babak EKSPEDISI KETENTERAAN yang diketuai oleh baginda. Daripada keseluruhan jalan cerita tersebut, terdapat 6 babak peperangan yang dipaparkan sebagai mana yang tercatat dalam sejarah. Peperangan tersebut ialah: 

  1. Pembukaan kota Belgrade.
  2. Penguasaan Pulau Rhodes.
  3. Peperangan Mohács.
  4. Pengepungan kota Vienna.
  5. Pengepungan Pulau Corfu.
  6. Pengepungan kota Szigetvár.

Baiklah, penulis akan menunjukkan satu per satu babak daripada drama bersiri tersebut bagi setiap peperangan tersebut. Memandangkan kita hanya menonton sedikit sahaja episodnya, boleh jadi kita tidak berpeluang untunk menonton babak ini memandangkan ia berada di tengah episod.

1. Pembukaan kota Belgrade (Episod 6).

Belgrade 1

Bendera Uthmaniyyah berkibar di puncak kota Belgrade.

Kota Belgrade sebelum ini cuba dibuka oleh Sultan Mehmed II pada tahun 1456M namun tidak berjaya. Lalu Sultan Süleyman I menyambung misi tersebut dan akhirnya kota tersebut jatuh ke tangan Dawlah Uthmaniyyah pada 29 Ogos 1521. 

Belgrade 2

Sultan Süleyman I memberikan jaminan kebebasan kepada penduduk kota.

2. Penguasaan Pulau Rhodes (Episod 10). 

Kepungan Pulau Rhodes merupakan ekspedisi kedua Sultan Süleyman I [ada tahun 1522M. Ia bertujuan untuk menghalau Knights of Hospitaller daripada pulau tersebut dan memberikan peluang untuk Dawlah Uthmaniyyah menguasai timur laut Mediterranean. Setelah lima bulan kepungan, akhirnya pulau tersebut berjaya dikuasai. 

Rhodes 1

400 buah kapal Uthmaniyyah berlayar menuju Pulau Rhodes. 

Rhodes 2

Sultan Süleyman I bersama menteri baginda mendirikan solat sunat sebagai tanda syukur.

3. Peperangan Mohács (Episod 26).

Mohacs 1

Pasukan tentera Sultan Süleyman tiba di Mohács.

Peperangan ini berlaku pada 29 Ogos 1526M. Ia melibatkan pasukan Hungary pimpinan Raja Louis II menghadapi pasukan Sultan Süleyman I. Peperangan ini berlaku di kawasan tanah lapang Mohács, Hungary. Peperangan ini telah menandakan runtuhnya Kerajaan Hungary apabila Raja Louis II telah terbunuh di medan perang. Akhirnya, wilayah kerajaan Hungary ini direbut oleh Empayar Roman Suci (Habsburg) dan Dawlah Uthmaniyyah. Keruntuhan kerajaan Hungary menandakan penguasaan Dawlah Uthmaniyyah semakin utuh di tenggara Eropah. 

Mohacs 2

Pasukan tentera Hungary pimpinan Raja Louis II.

4. Pengepungan Kota Vienna (Episod 40). 

Vienna 1

Kepungan kota Vienna bermula.

Sultan Süleyman I telah melantik John Zápolya sebagai penguasa Hungary yang baru selepas kemangkatan Raja Louis II dalam Peperangan Mohács. Namun, Maharaja Empayar Roman Suci Charles V juga melantik adiknya, Ferdinand sebagai penguasa Hungary sehingga menyebabkan konflik antara John Zápolya dengan Ferdinand. Zápolya meminta bantuan Sultan Süleyman I lalu baginda berjaya menguasai semula kota Buda dan terus menuju ke kota Vienna pada tahun 1529M. Kepungan berlangsung dari 27 September–15 Oktober 1529M iaitu selama dua minggu, empat hari. Namun, disebabkan oleh cuaca yang buruk, iaitu hujan lebat dan diikuti dengan salji tebal, kepungan terpaksa ditamatkan serta-merta. 

Vienna 2

Hujan lebat membasahi bumi Vienna.

Vienna 3

Salji turun dengan lebatnya.

5. Pengepungan Pulau Corfu (Episod 87).

Ia merupakan kempen ketenteraan ketujuh pimpinan Sultan Süleyman I. Ia merupakan antara siri peperangan yang melibatkan pakatan Uthmaniyyah – Perancis Itali. Persetujuan telah dicapai oleh kedua-dua pihak pada tahun 1537M bagi menentang Itali. Dawlah Uthmaniyyah akan menyerang selatan Itali dan Naples dengan armada lautnya pimpinan Laksmana Hayreddin Barbarossa manakala pasukan Perancis pimpinan Raja Francis I akan menyerang dari utara dengan 50,000 pasukan tentera. Sultan sendiri mengetuai pasukan seramai 300,000 orang dari Istanbul menuju ke Albania dan kemudian mereka akan dipindahkan ke Itali dengan kapal. 

Corfu 1

Tembakan meriam ke atas kubu di Pulau Corfu.

Namun, raja Perancis tidak menunaikan janjinya lalu meninggalkan medan peperangan di Itali dan menyerang Belanda. Lalu, Sultan Süleyman I mengubah perancangan dan mengepung Pulau Corfu pada 19 Ogos 1537M dengan sebanyak 320 buah kapal perang dan seramai 25,000 orang tentera. Namun disebabkan oleh wabak yang melanda pasukan tenteranya, baginda mengambil keputusan untuk kembali ke Istanbul pada pertengahan September tanpa berjaya menguasai pulau tersebut. 

Corfu 2

Sultan Süleyman I mengumumkan bahawa kepungan Pulau Corfu ditamatkan. 

6. Pengepungan Kota Szigetvar (Episod 139- Akhir).

Szigetvár 1

Kota Szigetvár sedang dikepung.

Peperangan ini merupakan peperangan yang terakhir diketuai oleh Sultan Süleyman I sejak menaiki takhta selama 46 tahun. Ketika itu baginda sudah berusia 72 tahun sudah menghidap sakit gout. Ia merupakan ekspedisi ketenteraan baginda yang ke-13 dan terakhir. Kota Szigetvár merupakan benteng pertahanan bagi Empayar Roman Suci di wilayah Hungary. Kota tersebut dipertahankan oleh Count Nikola Šubić Zrinski yang merupakan bangsawan Croatia-Hungary yang tunduk kepada Empayar Roman Suci. 

Szigetvár 4

Sultan Süleyman I memberikan pidato terakhir di hadapan bala tenteranya.

Kepungan bermula pada 6 Ogos 1566 sehingga 8 September 1566M dan berakhir dengan kejayaan Dawlah Uthmaniyyah menguasai kota tersebut. Sungguhpun begitu, sebelum kota tersebut jatuh, Sultan Süleyman terlebih dahulu mangkat di khemah tentera baginda pada 6 September 1566M, dua hari sebelum kota tersebut berjaya dikuasai. Berita kemangkatan baginda dirahsiakan terlebih dahulu agar tidak melemahkan moral pasukan tenteranya yang sedang berjuang bermati-matian. Dalam masa yang sama, utusan dihantar kepada Şehzade Selim II yang berada di Kutahya untuk memaklumkan berita tersebut sekaligus menaikkannya ke takhta Dawlah Uthmaniyyah mengganti ayahandanya. 

Szigetvár 3

Sultan Süleyman I mangkat di dalam khemah baginda di luar kota Szigetvár.

KESIMPULAN

Pada pendapat penulis, mengkaji sejarah Dawlah Uthmaniyyah di Malaysia agak sukar memandangkan kita tidak memiliki sumber-sumber berbahasa Turki khususnya Osmanlica yang banyak. Jikalau adapun, bukan semua yang mampu membacanya. Setidak-tidaknya, melalui drama bersiri ini, dapatlah diadunkan bersama kajian bertulis dengan babak-babak lakonan semula yang berkaitan agar dapat memberikan gambaran bagaimana satu-satu peristiwa bersejarah  itu berlaku. Namun, babak-babak yang tidak bertepatan dengan fakta sejarah, tidak perlulah diambil berat memandangkan ia merupakan sebuah karya sejarah yang dilakonkan semula menerusi layar perak. 

RUJUKAN

Muhteşem Yüzyıl.

Ahmad bin Zaini Dahlan. 1997. Al-Futuhat al-Islamiyyah ba’d Mudi al-Futuhat al-Nabawiyyah. Jil. 2. Bayrut: Dar Sadir.

André Clot. 2012. Süleyman the Magnificent. Terj. London: Saqi Books.

Feridun Emecen. 2013. Sulaiman al-Qanuni Sultan al-Barraini wa al-Bahraini. Terj. Kaherah: Dar al-Nail li al-Thiba’ah wa al-Nasyr.

Mehdi İlhan & Yaşar Yücel. 1991. Sultan Suleyman The Grand Türk. Ankara: Türk Tarih Kurumu.

 


 

 

 

 

Tentang Penulis

You may also like...