Wisata Madani Balkan 2019 (Bahagian 1)

rpt

Bermula dengan Wisata Madani Turki yang telah kami ikuti pada tahun 2015, pada tahun ini kami menyambung perjalanan ke negara-negara Balkan.

Apa itu negara-negara Balkan?

Secara umumnya, Balkan merujuk kepada kawasan di bahagian tenggara Eropah yang terdiri daripada negara seperti Bosnia & Herzegovina, Albania, Bulgaria, Kosovo, Macedonia dan Montenegro. Sebahagian daripada Greece, Croatia, Serbia, Slovenia, Romania, dan Hungary juga terletak di kawasan Balkan. Bahagian Barat Turki juga adalah sebahagian daripada Balkan.
 
Kebanyakan negara Balkan ini pernah ditakluki oleh Kerajaan Turki Uthmaniyyah.
 
Oleh itu, dalam Wisata Madani Balkan, kami menelusuri sejarah peninggalan kerajaan Turki Uthmaniyyah di negara-negara berkenaan.
 
Kami memulakan perjalanan dengan menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Sarajevo dan transit di Istanbul bermula jam 11 malam waktu Malaysia dan tiba pada jam 2 petang waktu Bosnia & Herzegovina.
 
Ketika penerbangan ke Sarajevo, kami sempat berbual dengan seorang wanita India bernama Somali, seorang pensyarah Bahasa Inggeris di India yang berkunjung ke Bosnia & Herzegovina untuk menziarahi suaminya yang bekerja sebagai jurutera besi di sana. 
 
Angin sejuk bumi Bosnia menyapa, rasa tenang dan damai. Kami disambut oleh Belma, selaku host penginapan kami di Sarajevo ini. Peramah dan meriah orangnya. Beliau mengusahakan bisnes penginapan untuk sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini (boleh rujuk Bosnian feelings apartment in Old Town – hosted by Belma di Airbnb). Beliau mengambil kami di Međunarodni Aerodrom Sarajevo (Sarajevo International Airport) dan membawa kami ke homestay di Očaktanum.
 
Kami mengambil peluang pada petang itu untuk ke kawasan sekitar Old Town Sarajevo yang jaraknya dalam 2km, lebih kurang 10 minit berjalan kaki dari tempat kami menginap.
 
Antara lokasi yang sempat kami lawati adalah Baščaršija (pasar lama yang menempatkan hampir 4,000 gerai) Sebilij FountainGazi Husrev Beg’s Madrassa, Gazi Husrev Beg’s Mosque, Gazzi Husrev Beg’s Bazaar, Clock Tower (keseluruhan kompleks ini dibina pada zaman Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada abad ke-15.
 
 

Kedai-kedai yang berada di Baščaršija

 
Kebetulan, pada waktu ini diadakan pameran berkenaan Gazi Husrev Beg, jadi banyak info yang kami perolehi di sini dan tempat paling lama kami singgah), City Hall (National & University Library of Bosnia & Herzegovina ini dibakar oleh tentera Serbia pada 25 – 26 Ogos 1992 – hampir 2 juta buku dan dokumen hangus), Latin Bridge (jambatan berukuran 39 meter yang merentasi Sungai Miljacka ini berlakunya peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand dan isterinya pada tahun 1914 oleh nasionalis Serbia yang akhirnya tercetus perang dunia pertama).
 
 
 
 

Latin Bridge

 
Kami terserempak dengan sekumpulan orang Malaysia yang melancong ke sini. Sudah 6 hari mereka di sini. Ternyata, mereka agak terkejut dan memuji kembara kami berdua ke sini (rahsia di sebaliknya hanya kami yang tahu, makcik )
 
Ke mana kami seterusnya? Nantikan khabar dari kami berdua dari semasa ke semasa. Doakan perjalanan kami selamat. InsyaAllah.
 
 
Tulisan oleh RT Wan Ritini
Gambar oleh RT Fadzillah

You may also like...