Semoga Beroleh Haji Mabrur!

 

Kumpulan pertama jemaah haji dari Malaysia telah pun berlepas ke Jeddah, Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji bagi tahun ini.

Penerbangan pertama Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) MH8100 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membawa 467 jemaah haji dan 16 petugas Tabung Haji (TH) dan wakil media telah berlepas pada awal pagi Khamis, 4 Julai 2019.

Ramai jemaah teruja dan hadir awal ke kompleks haji untuk mendaftar bersama keluarga. Ada yang menyatakan rasa syukur kerana terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Mengikut data Tabung Haji, seramai 30,200 jemaah Malaysia akan mengerjakan haji yang turut dibantu seramai 640 petugas haji Malaysia, termasuk 255 pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta doktor pakar yang telah berada di sana secara berperingkat sejak 27 Jun lalu.

Lapan lapangan terbang utama di negara ini menjadi lokasi penerbangan 81 pesawat yang disewa khas bagi membawa jemaah haji ke sana. Lapangan terbang tersebut adalah di KLIA, Alor Setar, Bayan Lepas, Senai, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Marilah sama-sama kita doakan jemaah-jemaah ini dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci dan seterusnya dapat menjalankan ibadah dengan lancar.

 

Untuk info terkini berkenaan Operasi Haji, layari

https://www.tabunghaji.gov.my/ms/haji/maklumat-am/operasi-haji

 

You may also like...