Perkembangan Astronomi Era Dawlah ‘Uthmaniyyah

PENDAHULUAN

Menurut Sezgin (2010), astronomi di dalam bahasa Arab disebut sebagai cilm al-hai’ah atau cilm al-falak. Ia merupakan salah satu daripada cabang sains matematik, al-culum al-riyadiyyah dan ia berbeza dengan ilmu astrologi yang disebut sebagai cilm ahkam al-nujum atau sina’ah ahkam al-nujum.

Dawlah cUthmaniyyah merupakan sebuah kerajaan Islam yang berdiri dari penghujung Zaman Klasik sehinggalah ke permulaan Zaman Moden. Ia didirikan pada abad ke-14M dan runtuh pada awal abad ke-20M. Justeru, bagi mengkaji perihal perkembangan bidang astronomi sepanjang lebih kurang 600 tahun sejarahnya sudah tentu akan mengambil ruang ruang yang banyak. Oleh itu, pengkaji akan memberikan tumpuan kepada kajian mengenai perkembangan bidang ini sebelum era pembaratan iaitu sehingga sebelum tahun 1600M.

Maka, sebelum kita memasuki kajian mengenai bidang astronomi era cUthmaniyyah secara spesifik, adalah perlu untuk kita memahami terlebih dahulu tentang bagaimana proses perkembangan bidang sains dan teknologi yang berlaku ketika itu. Ihsanoglu (2002) menjelaskan bahawa bidang sains dan teknologi era cUthmaniyyah terbahagi kepada dua peringkat perkembangan. Peringkat pertama berlaku pada era Sultan Orhan I sehingga Sultan Murad II yang meliputi tahun 1324M sehingga tahun 1451M. Manakala peringkat kedua pula berlaku pada era pemerintahan Sultan Mehmed II yang bermula dari tahun 1451M sehinggalah tahun 1600M iaitu para era Sultan Murad III. Selepas tahun 1600M, berlaku perubahan daripada tradisi saintifik Islam kepada tradisi saintifik Barat disebabkan oleh bermulanya proses pemodenan dan pembaratan dalam Dawlah cUthmaniyyah. Secara mudah difahami, ia sebagaimana yang digambarkan melalui rajah di bawah.

Pembahagian era perkembangan astronomi pada zaman cUthmaniyyah.

Ihsanoglu (2006) mennyebut bahawa Sultan Orhan I yang merupakan pemerintah kedua cUthmaniyyah telah meletakkan batu asas kepada proses perkembangan ilmu pengetahuan dalam Dawlah cUthmaniyyah. Baginda telah mengasaskan sebuah madrasah yang pertama pada tahun 1331M di Iznik (Madrasah Suleyman Pasha). Bermula dari situ, sedikit demi sedikit perkembangan ilmu pengetahuan berlaku. Ilmu pengetahuan yang dikembangkan melalui sistem madrasah ini ialah ilmu keagamaan (ulum al-Syariah) dan ilmu sains rasional (ulum al-awa’il) seperti matematik, astronomi, perubatan dan fizik.

Madrasah Suleyman Pasha di Iznik.

Bukan itu sahaja, baginda juga telah melantik seorang tokoh ulama terkemuka ketika itu iaitu Dawud al-Qaysari (w.1350M) sebagai pengetua di madrasah tersebut. Beliau sendiri telah mendapatkan pendidikan di institusi pendidikan terkemuka ketika itu iaitu Madrasah Nizamiyyah di Tokat di bawah didikan Syam al-Din Muhamamd bin Sartaq (w.1327M) yang merupakan sebahagian daripada generasi kedua yang menjalankan kajian di Balai Cerap Maragha. Hasil didikan gurunya inilah yang menjadikan Dawud al-Qaysari mengenali tokoh-tokoh ahli matematik dan falsafah Greek seperti Aristotle, Archimedes, Apollonius, Agathon dan Euclid juga tokoh matematik Islam klasik seperti al-Kindi, al-Khawarizmi, Thabit bin Qurrah, Ibn al-Haytham, Ibn Salah dan al-Kuhi (Fazhoglu dan Ragcp 2014).

Kemudian, perkembangan sains bertambah rancak pada era pemerintahan Sultan Mehmed II. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ammalina dan Roziah (2014), bahawa Sultan Mehmed II telah memberikan perhatian yang serius dalam mengembangkan sains dan teknologi ditambah pula baginda sendiri juga merupakan seorang yang meminati bidang ini. Sultan Mehmed II ketika itu telah menaungi para ulama dan ilmuan Islam ketika itu. Bukan itu sahaja, baginda telah memerintahkan seorang ilmuan Greek dari Tranzon bernama Georgios Amirutzes dan anak lelakinya untuk menterjemahkan sebuah karya Ptolemy berjudul Geographia ke dalam bahasa Arab. Selain itu, baginda juga memerintahkan mereka untuk melukis satu peta dunia. Pada tahun 1445M, para ilmuan Itali antaranya bernama Ciriaco d’Ancona untuk mengajar baginda sejarah Rom dan Eropah. Tambahan pula, apabila seorang paderi bernama Gennadious selesai menulis sebuah karya berkenaan kepercayaan umat Kristian berjudul Itikad nâme, beliau telah mempersembahkan karya tersebut kepada sultan. Tidak ketinggalan, para ilmuan Islam juga mendapat perhatian oleh sultan. Baginda telah memerintahkan dua orang ulama ketika itu Hocazade and Ala al-Din al-Tusi untuk menulis karya berkenaan perbezaan pendapat Imam al-Ghazali dalam karyanya Tahafut al-Falasifah dan Ibn al-Rushd menerusi karyanya Tahafut al-Tahafut dalam bidang falsafah (Bicer 2012).

Maka, dalam bidang astronomi juga tidak ketinggalan daripada mendapat perhatian Sultan Mehmed II. Hal ini ditanda dengan kedatangan seorang ilmuan dan ahli astronomi bernama Ali Kuşçu ke kota Istanbul. Perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut selepas ini.

KEMUNCULAN ILMU ASTRONOMI DALAM DAWLAH cUTHMANIYYAH

Adalah perlu untuk diketahui bahawa bidang sains astronomi yang berkembang era Dawlah cUthmaniyyah merupakan kesinambungan daripada kemajuan bidang tersebut yang telah dipelopori oleh Dawlah cAbbasiyyah sejak abad ke-9M lagi. Aydüz (2010) menyatakan bahawa sejak permulaan abad ke-9M, Khalifah al-Ma’mun (813-833M) telah mempelopori tradisi pembinaan balai cerap dalam sejarah ketamadunan Islam. Ketika itu terdapat dua buah balai cerap yang utama iaitu Balai Cerap al-Syamasiyyah di Baghdad (dibina pada tahun 831M) dan Balai Cerap Jabal Qasiyun (dibina pada tahun 829M) di Damsyik. Kemudian, selepas itu, pada tahun 1259M, balai cerap Maragha telah dibina di bawah atas perintah Hulagu Khan di Iran. Kemudian, pada tahun 1420M, Ulugh Beg pula membina sebuah lagi balai cerap di Samarqand dan akhir sekali pembinaan Balai Cerap Tophane di Istanbul pada tahun 1577M. Bukan itu sahaja, setiap balai cerap yang dibina itu diurus oleh seorang atau sekumpulan ahli astronomi yang terpilih (Fazlioğlu 2008) (Sezgin 2010). 

Memandangkan kajian ini adalah berkenaan dengan perkembangan bidang astronomi era Dawlah cUthmaniyyah, maka perkembangan astronomi era yang lain tidak akan dibincangkan di sini. Era Dawlah cUthmaniyyah yang dimaksudkan adalah era Sultan Mehmed II, Sultan Beyazid II dan Sultan Murad III sebagaimana yang dijelaskan oleh Ihsanoglu (2002) dan tidak termasuk era Dawlah cUthmaniyyah pada era proses pembaratan berlaku (tahun 1600M dan selepasnya).

Lakaran balai cerap Maragha.

Perkembangan Era Sultan Mehmed II (1444-1446M & 1451-1481M)

Era Sultan Mehmed II menandakan permulaan kepada pengembangan bidang astronomi di Dawlah cUthmaniyyah. Ia ditandai dengan kedatangan seorang ahli astronomi yang bernama Ali Kuşçu. Sebelum datang ke Istanbul, beliau merupakan merupakan pelajar dan pembantu kepada Ulugh Beg, seorang pemerintah Dawlah Timuriyyah yang terkenal sebagai seorang pemerintah sekaligus seorang ahli astronomi. Ulugh Beg juga merupakan cucu kepada Timurlenk. Beliau dilahirkan di kota Samarqand pada tahun 1403M dan meninggal dunia pada tahun 1474M di kota Istanbul. Bapa beliau merupakan seorang penjaga burung helang di istana Ulugh Beg yang disebut sebagai kuşçu yang bererti penjaga burung helang (İleri 2006).

Ilhan (2007) menyebutkan bahawa Ali Kuşçu merupakan antara ahli astronomi yang bergiat aktif di Samarqand. Setelah Ulugh Beg mati dibunuh, beliau telah dijemput oleh Sultan Mehmed II untuk ke kota Istanbul. Boleh itu, beliau berpindah dari Samarqand menuju ke ibu kota cUthmaniyyah itu dan kemudiannya dilantik sebagai pengetua di Madrasah Fatih dan kemudiannya Madrasa Aya Sofia. Beliau berusaha untuk membebaskan ilmu sains daripada prinsip-prinsip falsafah fizikal dan metafizikal Aristotle. Bicer (2012) menceritakan perihal peranan beliau dalam perkembangan sains era Sultan Mehmed II:

No doubt the most notable scientist of the Conqueror’s period is Ali Kushcu, a representative of the Samarkand tradition. The total number of his works on mathematics and astronomy is twelve. One of them is his commentary on the Zij-i Ulug Bey in Persian. His two works in Persian, namely, Risala fi al-Haya (Treatise on Astronomy) and Risala Fi al-Hisab (Treatise on Arithmetic) were taught in the Ottoman madrasas. He rewrote these two works with some additions under new titles, al-Fathiyya (Commemoration of Conquest) and al-Muhammadiyya (The Book dedicated to Sultan Muhammed) respectively.

Maka, dapat diketahui bahawa pada era Sultan Mehmed II, ilmu astronomi mula memasuki Dawlah cUthmaniyyah melalui proses pemindahan ilmu daripada Samarqand. Antaranya ialah Ali Kuşçu. Sungguhpun begitu, ilmu astronomi yang dikembangkan ketika itu hanyalah bersifat penerusan kepada karya-karya astronomi sebelumnya seperti jadual astronomi Ulugh Beg. Pembangunan fasiliti astronomi yang berbentuk fizikal seperti balai cerap masih lagi belum dibangunkan.

Lakaran potret Ali Kuşçu.

Perkembangan Era Sultan Beyazid II (1481-1512M)

Pengkajian tentang perkembangan astronomi era Sultan Beyzid II masih lagi baru dan jarang ditemui. Walaubagaimanapun, berdasarkan kajian Şen (2017) yang mana secara terperinci telah memerihalkan suasana perkembangan bidang ini pada era Sultan Beyazid II. Dalam kajiannya, itu beliau telah memfokuskan kepada dua perkara iaitu bentuk naungan yang diberikan oleh Sultan Beyazid II dalam bidang astronomi berdasarkan penghasilan taqwim oleh para ahli astronomi dan astrologi atau disebut sebagai müneccim dan kecenderungan dan minat baginda sendiri dalam bidang ini. Dalam kajiannya itu, Şen (2017) antaranya telah menyenaraikan seramai 18 orang ahli astronomi dan mereka yang terlibat dalam membentangkan taqwim masing-masing kepada Sultan Beyazid dari tahun 1505M sehingga 1512M. Pada era ini, bidang astronomi hanyalah sekadar menggunapakai jadual-jadual zij yang ada sebelumnya.

King (1993) secara ringkas ada menyebut tentang dua orang ahli astronomi yang bertugas sebagai penjaga masa atau dikenali sebagai muwaqqit. Tugas mereka adalah menentukan masa berdasarkan matahari dan bintang serta penentuan waktu solat lima waktu. Dua orang ahli astronomi tersebut ialah Mustafa bin Ahmad yang dikenali sebagai Syeikh Wafa. Beliau hidup pada zaman pemerintahan Sultan Mehmed II dan Beyazid II dan meninggal dunia pada tahun 1491M. Beliau telah menghasilkan sebuah jadual astronomi berbentuk almanak (ruzname) yang bernama Ruzname-i-Vefa. Ia mengandungi jadual untuk pertukaran taqwim serta digunakan untuk mengira waktu solat. Kemudian, tokoh astronomi yang kedua hidup pada era Sultan Beyazid II ialah Muhamamd bin Yusuf (sekitar tahun 1500-an) yang dikenali sebagai Muhamamd bin Khatib Sinan. Beliau merupakan seorang muwaqqit yang berkhidmat di Topkapi, Istanbul. Karya beliau banyak berkisar tentang jadual-jadual astronomi yang ditulis dalam bahasa Turki cUthmani.

Ilhan (2007) juga turut menjelaskan bahawa ketika era pemerintahan Sultan Beyazid II, penekanan telah diberikan kepada bidang astronomi. Maka, ketika itu, bilangan ahli astronomi (müneccim), buku-buku berkaitan dengan astronomi dan astrologi serta taqwim telah bertambah. Ketika itu juga, terdapat ahli astronomi yang berkhidmat di istana yang dikenali sebagai müneccimbaşi iaitu ketua ahli astronomi yang dipilih daripada para graduan madrasah. Bermula dari abad ke-16M, mereka ditugaskan untuk menyediakan taqwim tahunan, taqwim puasa dan zodiak untuk kegunakan pihak istana dan para bangsawan.

Dapat dirumuskan bahawa bidang astronomi mengalami perkembangan yang seterusnya pada era Sultan Beyazid II. Ketika itu, wujud satu jawatan penting yang berkaitan dengan bidang ini iaitu müneccimbaşi iaitu ketua ahli astronomi dan penjaga waktu iaitu muwaqqit. Müneccimbaşi dipilih dalam kalangan ahli-ahli astronomi yang ada ketika itu dan berkhidmat sebagai ahli astronomi diraja di Istana Topkapi. Jadual taqwim tahunan serta pengiraan waktu solat dan puasa juga dilakukan oleh mereka. Antara ahli astronomi yang terkemuka ketika itu ialah Mustafa bin Ahmad yang dikenali sebagai Syeikh Wafa dan Muhamamd bin Yusuf. Perkembangan yang berlaku pula dari sudut pengenalan jawatan-jawatan rasmi melibatkan astronomi serta tugas-tugas mereka yang lebih terperinci.

Perkembangan Era Sultan Murad III (1574-1595M)

Sebelum mengalami proses pembaratan, Dawlah cUthmaniyyah sempat mencatatkan pencapaian yang tertinggi dalam bidang astronomi iaitu dengan pembinaan balai cerapnya yang tersendiri. Balai cerap tersebut sebagaimana yang telah disebukan sebelum ini ialah Balai Cerap Tophane di kota Istanbul. Ia menjadi satu-satunya dan terakhir dibina pada era Dawlah cUthmaniyyah sebelum berlakunya proses pembaratan dalam bidang sains.

Menurut Sezgin (2010), balai cerap ini dibina atas cadangan daripada Taqi al-Din Muhammad bin Ma’aruf al-Rassad kepada Sultan Murad III. Beliau merupakan seorang ahli astronomi yang datang ke Istanbul pada tahun 1570M. Kemudian, pada tahun 1571M, beliau dilantik sebagai müneccimbaşi oleh Sultan Selim III (1566-1574M) dan beliau kekal memegang jawatan tersebut sehinggalah Sultan Murad III menaiki takhta. Faktor pelantikan beliau sebagaimana yang dinyatakan oleh Aydüz (2010) adalah disebabkan oleh individu yang memegang jawatan tersebut ketika itu iaitu Mustafa bin Ali al-Muwaqqit telah meninggal dunia. Lalu, beliau terus membina hubungan yang baik dengan golongan pembesar dan ulama sehinggalah akhirnya beliau diperkenan untuk menghadap Sultan Murad III melalui Sadrazam Sokullu Mehmed Pasha.

Tujuan pembinaan balai cerap tersebut adalah untuk mengemaskini jadual-jadual astronomi yang sedia ada dengan melakukan cerapan baru yang lebih baik dengan bantuan peralatan cerapan yang berskala lebih besar yang baru. Beliau namakan balai cerap itu sebagai  Dar al-Rasad al-Jadid bermaksud balai cerap baru Sezgin (2010). Sebagaimana yang diungkapkan oleh Aydüz (2010), Sultan Murad III sudi untuk menjadi penaung kepada projek pembinaan balai cerap ini bahkan baginda memerintahkan supaya ia dibina dengan secera dan baginda juga memberikan dana untuk projek ini.

Menurut Ihsanoglu (2002), pembinaan balai cerap tersebut dimulakan sebaik sahaja Sultan Murad III menaiki takhta pada tahun 1574M dan selesai dibina pada tahun 1576M. Setelah Balai Cerap Istanbul siap dibina, Taqi al-Din terus meneruskan cerapannya yang dimulakan sejak tahun 1573M di menara Galata dan kemudiannya disambung di balai cerap sehinggalah balai cerap tersebut dirobohkan pada 22 Januari tahun 1580M. Cerapan tersebut menghasilkan sebuah zij yang berjudul Sidratu Muntehe’i Efkar fi Melekuti’l Feleki’d-Dewar atau dikenali sebagai Zic-i Şehinşahî dan dipersembah kepada Sultan Murad III. Manakala bukunya yang lain berjudul Ceridetu’d Durer ve Haridetu’l Fiker pula mengandungi jadual-jadual pergerakan bulan.

                        Lakaran Taqi al-Din bersama ahli astronomi era cUthmaniyyah.                    

Berkenaan punca balai cerap tersebut dirobohkan Aydüz (2010) menyebutkan bahawa faktor utamanya adalah disebabkan oleh dua faktor iaitu faktor agama dan faktor politik. Ihsanoglu (2002) pula menjelaskan lagi tentang peristiwa perobohan balai cerap tersebut dengan mengatakan bahawa:

The observatory was torn down on 4 Zilhicce 987 / 22 January 1580. Though rooted in certain political conflicts, religious arguments were put forth to justify the action. The seyhulislam issued a legal apinion (fetwa) and Admiral Kilic Ali Pasha carried out the orders of the sultan to destroy the building.

Berkenaan dengan pengurusan balai cerap, Aydüz (2010) menjelaskan bahawa balai cerap ini terdiri daripada dua buah bangunan yang terpisah. Satu bangunan yang besar manakala satu lagi yang kecil yang dibina di kawasan yang tinggi di Tophane, Istanbul. Ia diuruskan oleh seramai 16 orang pekerja yang terdiri daripada lapan orang pencerap, empat kerani dan empat orang pembantu. Balai cerap ini merupakan salah satu daripada balai cerap yang terbesar dalam sejarah Islam bahkan ia setanding dengan Balai Cerap Tyco Brahe di Uranienborg, Norway yang dibina pada tahun 1576M. Lebih menarik, kebanyakan peralatan astronomi yang digunakan oleh Tyco Brahe mirip dengan peralatan yang digunakan oleh Taqi al-Din di balai cerapnya (Kirmani dan Singh 2005).

KESIMPULAN

Sebagai rumusan, didapati bahawa pada era Sultan Murad III tercatat sebagai era di mana bidang astronomi Dawlah cUthmaniyyah mencapai kemuncaknya. Ia ditandai dengan pembinaan fasiliti astronomi fizikal yang pertama didirikan iaitu Balai Cerap Tophane, Istanbul. Tujuan pembinaannya pula adalah memperbaharu data-data cerapan yang telah digunakan sebelum ini sejak zaman Ulugh Beg lagi. Maka, dengan adanya balai cerapnya yang tersendiri, Dawlah cUthmaniyyah dapat turut sama menyumbang dalam perkembangan bidang ini sungguhpun ia kelak dirobohkan tidak lama selepas itu. Selain itu, penciptaan peralatan astronomi yang baru oleh Taqi al-Din juga turut menyumbang kepada perkembangan bidang ini pada ketika itu.

Kredit:

Artikel ini merupakan tugasan penulis bagi subjek Sains dan Teknologi dalam Tamadun Islam bimbingan Prof. Madya Dr. Roziah Sidek, semesta 2/2019. 

Tentang Penulis

You may also like...