Mamalik al-Nar; Perspektif Turki Uthmani dari Kaca Mata Mamalik Mesir

Penghujung tahun 2019 menyaksikan sebuah drama bersiri sejarah mula mendapat perhatian para penonton khususnya bangsa Arab dan Turki. Tidak kurang juga para pengkaji sejarah turut sama mengikuti 14 episod drama bersiri ini. Karya yang dihasilkan dengan bajet sebanyak 40 juta USD ini telah disiarkan melalui saluran MBC bermula 17 November hingga 19 Disember 2019 yang lalu.

Berikut merupakan sedikit ulasan berkenaan drama tersebut setelah selesai menonton kesemua 14 episodnya. 

1. Pemberian Judul dan Maksud Tersirat

Nama yang diberikan ialah Mamalik al-Nar namun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Kingdom of Fire. Terdapat dua perkataan yang menarik perhatian penulis iaitu perkataan Mamalik, kingdom dan al-Nar @ Fire.

  • Penggunaan perkataan mamalik atau mamluk merujuk kepada Kesultanan Mamluk yang pernah memerintah Mesir, Syam dan Hijjaz. Namun, apa yang sedikit pelik adalah video intro kepada drama ini menunjukkan Istana Topkapi yang merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Uthmaniyyah. 
  • Penggunaan perkataan kingdom juga mengukuhkan lagi poin yang pertama apabila digabungkan bersama video intro tersebut. Walhal kingdom dalam bahasa Arab bukannya mamalik tetapi dawlah atau mulk.
  • Perkataan al-nar atau api kemudiannya digandingkan dengan video intro yang bertemakan kegelapan, hitam dan api.  Semua itu difokuskan kepada Istana Topkapi yang digambarkan seperti dikelilingi bara api. Justeru hal ini menguatkan lagi pendapat bahawa terdapat percanggahan antara judul dengan tema yang cuba diketengahkan.

Istana Topkapi hitam dan berapi-api

Jadi, pada pendapat saya ia seperti menunjukkan Mamalik al-Nar itu ialah Kesultanan Uthmaniyyah yang mana pada perspektif orang bangsa Arab Mesir mereka menjadi mangsa kepada kekejaman dan penjajahan Turki Uthmaniyyah. Walhal, plot cerita lebih menjurus di pihak Mamluk.

Jika begitu, sepatutnya tajuk drama tersebut menjadi Mulk atau Dawlah al-Nar bukan Mamalik al-Nar. Hal ini umum mengetahui bahawa para sultan Uthmaniyyah bukanlah berasal daripada hamba (Mamluk) bahkan para sultan Mamaliklah yang berasal daripada hamba. Mereka menguasai Mesir selepas berjaya menggulingkan Kesultanan Ayyubiyyah yang diasaskan oleh Sultan Salah al-Din al-Ayyubi yang mana mereka juga merupakan hamba-hamba yang dimiliki oleh para sultan Ayyubiyyah sebelum itu.

2. Narasi Watak Utama

Sultan Selim I

  • Ingin mencontohi datuknya (Sultan Mehmed II) yang dahagakan peperangan.
  • Kejam.
  • Dipinggirkan oleh bapanya.
  • Gilakan  kuasa.

Sultan Tuman Bay II

  • Ingin memaiki kelompongan dalam pemerintahan bapa saudaranya, Sultan Qansuh al-Ghuri.
  • Berperikemanusiaan.
  • Dikasihi oleh rakyat Mesir dan bapa saudaranya.
  • Tidak mahukan kekuasaan tetapi dilantik atas desakan masyarakat. 

3. Antara Isu Tentang Plot Cerita

  • Sultan Mehmed II seorang yang dahagakan darah dan menaiki takhta setelah membunuh kesemua adik beradiknya.

Sultan Mehmed II

  • Undang-undang ‘fatricide’ para putera mahkota dalam Kanun Name yang digubal Sultan Mehmed II diberikan naratif dari sudut negatif sahaja (adik berdik saling berbunuhan kerana mahukan takhta) seperti tiada kesan positifnya.

Petikan Kanun Name Tentang Undang-undang ‘fatricide’

  • Singgahsana sultan Uthmaniyyah tidak menggamarkan identiti keturkiannya sebaliknya seperti suasana di dalam gereja.
  • Sultan Beyazid melaknat dan meludah makam ayahnya, Sultan Mehmed II kerana undang-undang ‘fatricide’ yang digubualnya dalam Kanun Name.
  • Sultan Selim membunuh isterinya, Aisya dan anaknya sendiri.
  • Kemangkatan Sultan Beyazid II di Istanbul sedangkan sebenarnya dalam perjalanan menuju ke Demotika.
  • Tiada penggunaan tugra.
  • Kemunculan Jiharda, satu kumpulan yang digambarkan membantu dan mendorong Sultan Selim I dalam ekspedisinya di Timur Tengah.
  • Peperangan Chaldiran tidak diketengahkan walhal isu inilah yang menyebabkan Sultan Selim I bergerak ke timur.
  • Punca Sultan Selim I menyerang Kesultanan Mamluk tidak dijelaskan walhal puncanya kerana mereka tidak membantu beliau bagi menghadapi Shah Ismail.
  • Sultan Selim I memerintahkan tenteranya yang merungut dalam perjalanan agar disula (impale). Walhal diketahui bahawa tindakan tersebut hanya dilakukan oleh Vlad the Impaler, Raja Wallachia.
  • Sultan Selim I sakit ketika ekspedisi Timur Tengah.
  • Sultan Selim tidak diketengahkan memimpin pasukan tenteranya dan hanya ada babak di dalam khemah sahaja.
  • Peperangan Marj Dabiq hanya dipaparkan Uthmaniyyah menang sebab gabenor Mamluk di Aleppo bertindak membelot dan berpihak kepada Sultan Selim sahaja. Tiada babak perang.
  • Kemenangan Uthmaniyyah hanya disebabkan oleh pengkhianatan pasukan Mamluk sahaja baik di Marj Dabiq mahupun di Ridaniyyah.
  • Dek kerana bukan berbangsa Arab Quraisy, ibu khalifah al-Muwakkil III memperlekehkan Sultan Selim I.
  • Sultan Selim I meracuni ayahandanya, Sultan Beyazid II.
  • Tiada babak penyerahan kunci al-Haramain kepada Sultan Selim I.
  • Pedang dan jubah Nabi s.a.w. tidak dapat ditemui oleh Sultan Selim, sebaliknya disembunyikan oleh salah rakan Tuman Bay, Jamal.
  • Sultan Selim I mengalami penyakit sehingga menyebabkan beliau menjadi gila serta cuba membubuh anaknya sendiri, Sulaiman.

Pasukan Tentera Uthmaniyyah

Pasukan Mamluk pimpinan Sultan Qansuh al-Ghuri di Marj Dabiq

4. Babak Penting yang diketengahkan

  • Proses perekrutan mamluk.
  • Perang Mamluk – Portugis di Jeddah.
  • Pemberontakan Shahkuli di Anatolia.
  • Sultan Selim menurunkan ayahandanya Sultan Beyazid II dari takhta.
  • Khalifah Abbasiyyah, al-Mutawakkil ‘ala Allah di Kaherah.
  • Pembunuhan Hadim Sinan Pasha oleh Sultan Tuman Bay II kerana disangka itu Sultan Selim I.
  • Kemerosotan ekonomi Kaherah era Sultan Qansuh al-Ghuri dan Tuman Bay II.
  • Kelengkapan perang Mamluk tidak dapat menandingi Uthmaniyyah.

KESIMPULAN 

Pujian harus diberikan kerana telah berjaya memberikan gambaran bagaimana peristiwa penting di timur tengah ini berlaku. Perubahan kuasa politik umat Islam daripada Mamluk kepada Uthmaniyyah sememangnya memberikan satu tamparan besar kepada orang Arab di timur tengah. Mereka terpaksa tunduk kepada kekuasaan orang Turki sehinggalah menjelang abad ke 20. 

Sememangnya diakui bahawa tidak semua babak dan fakta sejarah boleh disumbat ke dalam karya seni seperti ini. Namun, adalah lebih baik sekirannya sesiapa yang menontonnya memiliki pengetahuan tentang sejarahnya yang betul agar tidak tenggelam akibat persepsi melampau. 

Nukilan ini merupakan dapatan penulis setelah menonton kesemua episod drama bersiri ini. Tatkala Turki masih belum menghasilkan filem tentang Sultan Selim I, UAE berjaya memanfaatkan peluang bagi membentuk persepsi.

Apa-apa pun bagi yang ingin menonton drama bersiri ini, anda boleh menontonya di pautan berikut: https://shahid.mbc.net/ar/series/%D9%85%D9%85%D8%A7%D9%84%D9%83-%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A7%D8%B1-%D8%A7%D9%84%D9%85%D9%88%D8%B3%D9%85-1-%D8%A7%D9%84%D8%AD%D9%84%D9%82%D8%A9-1/episode-388733

Penulis merupakan Exco Kajian dan Penerbitan, Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD).    

 

Tentang Penulis

You may also like...