MAKLUM BALAS GPTD BERHUBUNG ISU ISLAM DAN MELAYU
Merujuk kepada isu tular berkaitan Islam dan Melayu baru-baru ini, GPTD berasa terpanggil untuk memberikan maklum balas berhubung isu tersebut berpandukan kerangka sejarah. Maklum balas GPTD adalah seperti berikut:
1. Dakwaan nama Allah kononnya merupakan nama dewa atau berhala pada zaman pra-Islam
Sebelum Islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W., para nabi dan rasul membawa ajaran Tauhid yang mengesakan Allah S.W.T. Nama Allah sudah pun disebut pada zaman tersebut hatta sebelum kemunculan dewa atau berhala pada zaman pra-Islam. Antara contoh, dalam Surah Toha ayat 14, Allah menyebut nama-Nya kepada Nabi Musa ’alaihissalam (a.s.). Jadi, nama Allah S.W.T. tiada kaitan dengan nama dewa atau berhala.
Masyarakat Arab Makkah (suku Jurhum) merupakan masyarakat yang beriman dengan syariat Nabi Ibrahim a.s. dan mengesakan Allah SWT. Hanya sesudah suku Khuzaah menguasai Makkah, barulah pemimpinnya Amru bin Luhay memperkenalkan penyembahan berhala di Makkah. Dan seterusnya, masyarakat Arab menyekutukan Allah SWT dalam ibadah mereka. Berhala-berhala tersebut dinamakan dengan pelbagai nama, kecuali Allah.
2. Dakwaan Muslim sembah Ka’bah
Ka’bah sebagai arah ibadah bukan tujuan ibadah. Tiada dalam syarat sah solat niat untuk menyembah Ka’bah tetapi niat hanya untuk menyembah Allah SWT. Maka, yang disembah ialah Allah bukannya Ka’bah.
Dalam sejarah, terdapat dua peristiwa Nabi Muhammad SAW meminta sahabatnya Bilal r.a. memanjat Ka’bah untuk mengumandangkan azan. Sekiranya Muslim menyembah Ka’bah, semestinya tidak akan ada sesiapa yang berani memanjat Ka’bah.
3. Salah tanggapan dalam hal jumlah ayat, susunan dan pengumpulan al-Quran
Oleh kerana perkara ini melibatkan ilmu, maka apabila berbicara tentangnya, perlulah merujuk kepada disiplin ilmu tersebut. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu ulum al-Quran. Imam Jalaluddin al-Suyuthi dalam kitabnya al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran mengkhususkan Bab Bilangan Surah, Ayat, Kalimah dan Huruf al-Quran. Di situ ada khilaf para ulama dalam menentukan setiap satunya.
Penyusunan (baca: turutan) ayat dan surah dalam al-Quran bukanlah dilakukan mengikut turutan ayat / surah yang diwahyukan. Penyusunan ayat dan surah dalam al-Quran sepertimana yang ada sekarang adalah merupakan perintah Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.
4. Dakwaan ada Islam-Arab dan Islam-Melayu
Untuk memahami perkara ini, ilmu akidah perlu dipelajari dan difahami dengan betul. Agama Islam adalah kesinambungan agama tauhid yang dibawa oleh para nabi terdahulu bermula daripada Nabi Adam AS. Agama ini pada mulanya diturunkan kepada kaum tertentu mengikut rasul yang diutuskan. Namun, sebagai penutup sekalian nabi dan rasul, agama Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah untuk seluruh umat manusia akhir zaman. Tidak kira kaum ataupun bangsa.
Sekiranya benar dakwaan bahawa pendakwah terdahulu bertujuan meng-Arab-kan umat Islam (khususnya Melayu), mengapakah ramai orang Melayu hari ini tak mampu berbahasa Arab? Bahkan ramai orang Melayu yang lebih menguasai bahasa Inggeris.
5. Keperluan disiplin ilmu (khususnya pemahaman agama Islam yang sebenar)
Sesiapa sahaja boleh mendakwa itu dan ini. Namun, setiap dakwaan itu perlu kepada dispilin ilmu tertentu serta merujuk kepada pakar dalam bidang tersebut. Apatah lagi persoalan yang melibatkan pemahaman Islam yang sebenar, ianya perlulah disandarkan kepada rujukan dan bukti yang benar. Tanpa menggunakan kaedah dan disiplin ilmu yang jitu, setiap dakwaan menjadi tidak berasas.
Semoga dengan penjelasan ini dapat meleraikan keraguan orang awam terhadap dakwaan-dakwaan yang tidak berasas ini. Selebihnya, kita serahkan kepada pihak berkuasa agama untuk menjelaskan dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Wallahua’lam.
Rujukan:
Al-Quran al-Karim
Al-Rahiq al-Makhtum (Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri)
Al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran (Jalaluddin al-Suyuthi)
Qasas al-Anbiya’ (Ibn Kathir)