Majlis Pelancaran KKD 3.0

Majlis perasmian pembukaan Konvensyen Ketamadunan Dunia 3.0 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Nafisah binti Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia.

Majlis perasmian ini telah diadakan di Bilik Serbaguna, Aras 1 Anjung Bestari, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 16 November 2018.

Majlis bermula pada jam 9:30 dengan kehadiran dan pendaftaran para peserta. Selain mendaftar untuk majlis ini, para peserta juga telah diberi peluang mengisi borang keahlian Miles & SmilesTurkish Airlines secara percuma, yang mana salah seorang peserta yang bertuah akan memenangi 2 tiket penerbangan ke Istanbul tajaan Turkish Airlines.

Sementara menunggu acara bermula, hadirin telah didendangkan dengan muzik latar bercirikan irama tradisional Turki di dalam dewan. Sementara di luar dewan, pameran manuskrip berkaitan dengan tema konvensyen turut disediakan.

Selepas kehadiran Yang Berusaha Encik Najmuddin bin Mohd Nawi dan Encik Mohd Hasanuddin bin Mohd Yusof, tetamu kehormat iaitu YBhg. Dato’ Nafisah binti Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, hadir tidak lama kemudian. Beliau turut disusuli dengan ketibaan YBhg. Prof. Datuk Dr. Hj. Awang bin Sariyan (Penasihat GPTD) serta YBhg. Dr. Harun bin Mat Piah (Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia).

Majlis dimulakan pada jam 10:00 pagi dengan alu-aluan oleh pengacara majlis, serta diteruskan dengan bacaan doa dan juga nyanyian lagu Negaraku oleh semua hadirin.

Selanjutnya, Yang Berusaha Encik Najmuddin bin Mohd Nawi telah menyampaikan ucapan alu-aluan. Antara perkara yang disentuh dalam ucapan beliau termasuklah latar belakang ringkas mengenai Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dan kerjasama yang terjalin dengan pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Selain itu, sebagai menghargai kerjasama dengan pihak PNM, beliau turut mencadangkan bahawa ahli-ahli GPTD yang berdaftar akan turut didaftarkan sebagai ahli PNM.

Majlis diteruskan lagi dengan sesi ucapan perasmian pembukaan Konvensyen Ketamadunan Dunia 3.0 oleh YBhg. Dato’ Nafisah binti Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa kerjasama dalam penganjuran KKD 3.0 ini merupakan yang ketiga selepas kerjasama yang terjalin antara GPTD dengan PNM dalam dua konvensyen sebelumnya.

Beliau turut meyakini dengan adanya usahasama pelbagai pihak, lebih banyak penemuan dapat diperoleh mengenai hubungan silam antara Alam Melayu dengan Turki. Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada GPTD bagi penganjuran konvensyen kali ini. Beliau seterusnya merasmikan pembukaan Konvensyen Ketamadunan Dunia 3.0 (KKD 3.0) dengan lafaz Bismillahirahmanirahim.

YBhg. Dato’ Nafisah binti Ahmad kemudiannya telah menyempurnakan upacara perasmian KKD 3.0 dengan menggunting reben yang kemudian menyerlahkan gegantung KKD 3.0. Kemudian sesi menandatangani plak pelancaran buku ‘Menjejak Hubungan Daulah Uthmaniyyah & Kesultanan Melaka’ dan ‘Miftahul Malayu’ di atas pentas. Kedua-dua acara ini disempurnakan beliau dengan diiringi oleh tetamu-tetamu kehormat.

Seterusnya, Yang Berusaha Encik Najmuddin bin Mohd Nawi (Presiden GPTD) telah menyampaikan cenderamata kepada YBhg. Dato’ Nafisah binti Ahmad, diikuti oleh Encik Mohd Hasanuddin bin Mohd Yusof yang telah menyampaikan buku ‘Menjejak Hubungan Daulah Uthmaniyyah & Kesultanan Melaka’ dan ‘Miftahul Malayu’ kepada beliau.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi pembentangan khas bertajuk ‘Gelombang Kebangkitan Dunia Melayu’ yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Hasanuddin bin Mohd Yusof, penulis bagi kedua-dua buku ‘Menjejak Hubungan Daulah Uthmaniyyah & Kesultanan Melaka’ dan ‘Miftahul Malayu’.

Encik Mohd Hasanuddin telah memperkenalkan secara ringkas Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara (MAPTIN) yang diasaskan beliau serta fokus kajiannya. Beliau turut mengetengahkan beberapa isi penting yang terkandung dalam kedua-dua buku yang dilancarkan, antaranya berkenaan teknologi orang Melayu silam seperti kincir air dan ilmu binaan bangunan. Menurut beliau lagi, orang Melayu memiliki teknologi membuat meriam yang tersendiri.

Selain itu, Encik Mohd Hasanuddin turut menyentuh mengenai hubungan antara Kesultanan Melayu Melaka dengan Daulah Uthmaniyyah, antaranya mengenai wujudnya rujukan yang menyebut bahawa Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah telah bernaung di bawah Daulah Uthmaniyyah dan diberi gelaran Mansur Pasha.

Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan sesi soal-jawab dan diakhiri dengan sesi bergambar para tetamu kehormat dengan semua hadirin.

Wakil media yang hadir telah menemubual YBhg. Dato’ Nafisah binti Ahmad, Encik Najmuddin bin Mohd Nawi, dan Encik Mohd Hasanuddin bin Mohd Yusof serta liputannya telah disiarkan melalui saluran berita TV1.

Sebelum bersurai, semua tetamu kehormat, wakil media dan hadirin telah dijamu dengan makan tengah hari oleh pihak PNM. Jumlah kehadiran peserta adalah sekitar 120 orang.

You may also like...