Kota Baghdad, Kota Bulatan Pertama di Dunia!

Khalifah Abu Ja’far al-Mansur (136-158H) merupakan khalifah kedua yang memimpin kerajaan Islam Bani Abbasiyyah. Beliau dilantik sebagai khalifah pada tahun 136H setelah menggantikan saudaranya Abu al-‘Abbas al-Saffah.

Pada asalnya pusat pemerintahan kerajaan Abbasiyyah terletak di al-Hasyimiyyah yang terletak di selatan. Setelah berjaya mententeramkan keadaan negara yang bergolak sebelum ini, beliau berhasrat untuk membina sebuah ibu kota kerajaannya yang baharu. Lalu dipilihlah satu kawasan di perkampungan Baghdad yang mana penduduk asalnya ialah masyarakat Arab Nabatea.

Pemilihan Baghdad untuk menjadi pusat kerajaan Khalifah al-Mansur juga bersesuaian memandangkan kawasan di sekitarnya pernah menjadi pusat kerajaan-kerajaan silam. Buktinya, 30km di tenggara Baghdad terletaknya kota Ctesiphon, ibu kota Empayar Parsi. Manakala ibu kota Babylon pula terletak 90km di selatannya. Kemunculan ibu kota Baghdad yang baharu ini telah berjaya menandingi kehebatan bandar-bandar lama tersebut.

Al-Khatib al-Baghdadi menyatakan dalam kitabnya Tarikh Madinah al-Salam bahawa Khalifah al-Mansur telah membawa masuk para jurutera dan artikek, tukang kayu, tukang besi dan sesiapa sahaja yang berkemahiran. Mereka semua telah digajikan untuk bersama-sama membina kota Baghdad. Dikatakan kira-kira seramai 100 ribu orang telah terlibat dalam projek pembinaan mega itu yang menelan belanja sebanyak 18 juta dinar emas atau 100 juta dirham perak.

Tarikh Baghdad atau dikenali juga dengan nama Tarikh Madinah al-Salam.

Pembinaan kota Baghdad mengambil masa selama empat tahun untuk siap sepenuhnya. Bermula pada tahun 145H kemudian setahun selepasnya, 146H Khalifah al-Mansur mula mendiami istananya di sana. Manakala pada tahun 149H, kota Baghdad siap sepenuhnya dan menjadi ibu kota kerajaan Islam Bani Abbasiyyah yang kelak menjadi terkenal di seantero dunia ketika itu sebagai pusat keilmuan dan ekonomi.

Struktur Kota Baghdad.

Berkenaan rupa bentuk kota, al-Khatib al-Baghdadi menyatakan: “Ia (kota Baghdad) menjadi satu-satunya kota dibina berbentuk bulatan di dunia ketika itu.” Maka, tidak hairanlah kota ini digelar sebagai Kota Bulatan atau Madinah al-Mudawwarah. Selain itu, kota Baghdad juga dikenali dengan nama Kota Kesejahteraan atau Madinah al-Salam.

Manakala, pintu gerbang utama yang terdapat padanya sebanyak empat buah. Keempat-empat pintu gerbang utama tersebut dinamakan bersempena dengan laluan keluar masuk dari kota Baghdad.

Nama-nama pintu gerbang kota Baghdad.

Kemudian, lain-lain maklumat tentang struktur kota Baghdad sebagaimana yang dicatatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi adalah seperti berikut:

  • Di atas setiap pintu gerbang utama dibina kubah.
  • Di antara dua pintu gerbang utama itu terdapat 28 buah tiang bagi pintu gerbang Syam dan Basrah dan 29 buah bagi pintu gerbang Kufah dan Khurasan.
  • Jarak antara pintu gerbang Khurasan ke gerbang Kufah ialah sejauh 1200 hasta.
  • Jarak antara pintu gerbang Syam ke gerbang Basrah ialah sejaruh 1200 hasta.
  • Terdapat parit mengelilingi kota.
  • Terdapat dua lapisan tembok kota. Lapisan dalam lebih tinggi daripada lapisan luar. Jarak antara kedua-dua tembok kota ialah 60 hasta.
  • Di tengah-tengah kota terdapat istana khalifah dan masjid besar.

Binaan yang tersergam indah di kota Baghdad ini sudah tentulah istana khalifah. Ia terkenal dengan binaan kubahnya yang berwarna hijau atau Qubbah al-Khadra’ yang mana ia boleh dilihat dari hujung hota. Al-Khatib al-Baghdadi menyatakan bahawa nama istana Khalifah al-Mansur ini diberi nama Al-Khuld yang diumpamakan dengan Syurga al-Khuld kerana pemandangannya yang indah bagaikan di syurga.

Apa yang menariknya, disebelah istana khalifah yang tersegam indah itu, terdapat sebuah masjid bernama Jami’ al-Mansur. Ia menjadi masjid rasmi yang didirikan solat Jumaat di kota Baghdad.

Baghdad yang Dahulu Bukan yang Sekarang.

Sejak kejatuhan kota ini ditangan tentera Mongol pada tahun 1258M, ia tidak lagi menjadi pusat peradaban dunia sebagaimana sebelumnya. Malah, Baghdad sehingga kini dipenuhi dengan pelbagai krisis dalamannya akibat daripada campur tangan kuasa-kuasa luar. Bak kata pepatah, “Sudah jatuh ditimpa tangga.” 

Gambaran serangan tentera Mongol pimpinan Hulagu Khan ke atas kota Baghdad.

Walaupun kota bulatan ini sudah ranap tanpa meninggalkan sisa, catatan sejarah tidak pernah melupakannya. Hanya tinggal menunggu untuk dibaca sahaja. Jika tidak, ia akan dilupakan selama-lamanya dalam lipatan sejarah.

Putrajaya; “Kota Baghdad” di Malaysia?

Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga apabila di negara kita juga terdapat “kota Baghdad.” Apakah ia? Ya, Putrajaya. Setelah kita menelursi sejarah pembinaan kota Baghdad, tidakkah kita perasan bahawa memiliki persamaan dengan Putrajaya? Mari kita lihat antara ciri persamaannya:

Pemandangan Putrajaya dari atas. Kelihatan Masjid Putra (Kiri) dan pejabat perdana menteri (Kanan).

Tatkala hari ini kita hari ini membincangkan tentang pembangunan mapan atau sustainable development, sebenarnya umat Islam silam telah melaksanakannya terlebih dahulu. Pembinaan kota Baghdad sekaligus telah memacu perkembangan ketamadunan umat Islam sehingga membawa kepada Zaman Keemasan Islam atau the Golden Ages of Islam. Inilah Sejarah Kita!

Tentang Penulis

You may also like...