Kenyataan Rasmi: Bantahan Penganjuran Program Tattoo Malaysia Expo 2019

KENYATAAN RASMI
KELAB GENERASI PEMUDA TAMADUN DUNIA (GPTD) 

Kami Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) bersama NGO-i lain yang bernaung di bawah MAIS amat berdukacita dan membantah sekeras-kerasnya penganjuran program Tattoo Malaysia Expo 2019 yang telah berlangsung pada 29 November sehingga 1 Disember 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Penganjuran program yang menampilkan peragaan tatu separuh bogel ini terang-terangan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang kelima, “Kesopanan dan Kesusilaan”.

GPTD berkeyakinan tidak ada pun mana-mana agama atau budaya yang merestui program seumpama ini. Ia memberi impak dan implikasi negatif kepada perkembangan minda yang sihat dan sopan bagi generasi akan datang.

Merujuk kenyataan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk diadakan program yang melanggar adab dan tatasusila ini, kami menggesa pihak Kerajaan untuk mengambil tindakan tegas ke atas pihak penganjur yang menyalahgunakan kepercayaan yang telah diberi pihak Kementerian dalam menganjurkan program yang sepatutnya menggambarkan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan nilai-nilai peradaban tinggi.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan secara jelas telah menggariskan elemen-elemen yang membentuk kebudayaan Malaysia. Dalam dasar yang sama, Islam secara jelas telah dinyatakan sebagai elemen utama dalam kebudayaan kebangsaan.

Sebarang acara kebudayaan yang disokong di peringkat nasional seharusnya selari dengan dasar ini. Sebarang pelanggaran terhadap dasar ini pada asasnya boleh dinilai sebagai bertentangan dengan dasar negara.

Sehubungan itu, kami menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MOTAC untuk mengambil tindakan yang sepatutnya bagi mengelakkan insiden sama berulang. Kami juga menyeru seluruh warga Malaysia agar menjunjung dan menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan dalam setiap aktiviti agar keharmonian masyarakat sentiasa terjaga, seterusnya membentuk Malaysia maju dengan acuan budaya tersendiri.

Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) 
8 Rabiulakhir 1441H, bersamaan 5 Disember 2019

You may also like...