GHANIMAH UNTUK SEDEKAH JARIAH

images
Buat yang membaca sejarah Uthmaniah, pasti pernah mendengar nama Lala Syahin. Lala bermaksud cikgu @ tutor. Jadi, kita dapat tahu bahawa tokoh ini bernama Syahin dan pernah menjadi cikgu. Namun, cikgu kepada siapa? Cikgu kepada seorang putera Uthmaniah yang kelak bakal membuka kota Adrianople iaitu Sultan Murad I.
.
Kelak pada zaman Sultan Murad I, beliau dilantik sebagai Beylerbey wilayah Rumeli dan banyak memimpin ekspedisi peluasan wilayah era Sultan Murad I.
.
Terdapat satu kisah menarik tentang sosok yang bernama Lala Syahin ini. Taşkoprülzade dalam al-Syaqa’iq al-Nu’maniyyah ketika menceritakan perihal al-Mawla Taj al-Din al-Kurdari r.h.m, ulama yang hidup pada era Sultan Orhan, menyelitkan satu anekdot tentang Lala Syahin ini. Tulis beliau dalam al-Syaqa’iq:
.
“Tatkala Sultan Orhan al-Ghazi sedang mengepung kota Iznik, sampai berita kepada beliau bahawa tentera musuh sedang menuju ke arahnya. Lalu, sultan berasa hairan dan berbincang bersama salah seorang pembantunya, al-Amir Syahin Lala.
.
Pembantunya itu pun menyarankan agar mempercepat kepungan dan berkata, “Jika tuanku mengurniakan kepada hamba ghanimah yang diperoleh daripada orang-orang kafir itu, maka hamba akan bertempur dengan mereka.”
.
Sultan pun mengizinkan. Lalu, al-Amir Syahin Lala berjaya mengalahkan pasukan musuh itu dan memperoleh ghanimah yang banyak. Sultan mula menyesali tindakannya itu dan meminta fatwa daripada al-Mawla Taj al-Din.
.
Beliau bertanya kepada sultan: “Adakah dia ini berstatus hamba atau telah dibebaskan?”
.
Sultan menjawab: “Dia telah dibebaskan.”
.
Maka jawab al-Mawla Taj al-Din: “Sesungguhnya ghanimah itu adalah menjadi miliknya dan tidak boleh diambil daripadanya.”
.
Taşkoprülzade menyambung: “Setelah itu, al-Amir Syahin menggunakan ghanimah tersebut untuk membina sebuah madrasah di kota Bursa, sebuah jambatan di Kirmasti dan sebuah zawiyah.”
.
Kini, Kirmasti dinamakan sebagai Mustafakemalpaşa yang terletak di wilayah Bursa, Turki. Di situ terdapat makam Lala Syahin yang terletak di tepi sungai yang juga bernama Mustafakemalpaşa. Mungkin boleh dimasukkan sebagai tempat ziarah yang baharu selain daripada Uludağ yang terkenal itu.

You may also like...