4 Rujukan Utama Sejarah ‘Uthmaniyyah Berbahasa Arab

Di Malaysia, apabila menyebut tentang sejarah kerajaan ‘Uthmaniyyah, rata-ratanya merujuk kepada sumber berbahasa Inggeris. Memandangkan untuk merujuk tulisan berbahasa Turki agak sukar kerana tidak ramai yang menguasai bahasanya, pilihan kedua yang ada ialah dengan merujuk sumber yang berbahasa Arab.

Namun, hal ini kadang kala dipandang sebelah mata sahaja memandangkan rata-rata sejarawan tempatan kurang menguasai bahasa Arab sehingga menyukarkan mereka untuk merujuknya. Sebaliknya, mereka yang menguasai bahasa Arab pula tidak meminati bidang sejarah khususnya berkaitan sejarah ‘Uthmaniyyah itu sendiri. Jadi, sebagai sejarawan yang mengkaji sejarah Islam, bahasa Arab tidak boleh dipinggirkan.

Berikut saya kongsikan 4 buah rujukan utama berbahasa Arab yang boleh dirujuk dan saya kategorikan ia kepada 4 peringkat: 

Peringkat Asas

Judul: Talkhis al-Tarikh al-‘Uthmani al-Mushawwar.

Terjemahan: Muhammad Syakir al-Hanbali.

Maklumat rujukan:

  1. Merupakan sebuah karya terjemahan dari bahasa Turki ‘Uthmaniyyah ke dalam bahasa Arab.
  2. Dijadikan sebagai buku teks sejarah bagi institusi pendidikan rendah di Damsyik era kerajaan ‘Uthmaniyyah.
  3. Menceritakan sejarah penubuhan kerajaan ‘Uthmaniyyah secara ringkas berserta gambar-gambar yang berkaitan.
  4. Penceritaan biografi setiap sultan secara ringkas dan peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan mereka.
  5. Di akhir bab terdapat soalan memandangkan ia merupakan sebuah buku teks sekolah.

Peringkat Pertengahan (1)

Judul: Tarikh al-Dawlah al-‘Uthmaniyyah al-‘Aliyyah.

Tulisan: Ibrahim Bek Halim.

Maklumat rujukan:

  1. Merupakan sebuah karya bahasa Arab.
  2. Menyentuh kepentingan mempelajari sejarah dan politik secara ringkas.
  3. Menceritakan sejarah penubuhan kerajaan ‘Uthmaniyyah secara ringkas tanpa gambar-gambar yang berkaitan.
  4. Penceritaan biografi setiap sultan secara ringkas dan peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan mereka.
  5. Pada biografi setiap sultan, disertakan juga senarai pemerintah dunia yang memerintah waktu itu sebagai perbandingan.

Peringkat Pertengahan (2)

Judul: Tarikh al-Dawlah al-‘Aliyyah al-‘Uthmaniyyah .

Tulisan: Muhammad Farid Bek.

Maklumat rujukan:

  1. Merupakan sebuah karya bahasa Arab.
  2. Menyentuh kepentingan mempelajari sejarah secara ringkas.
  3. Menceritakan sejarah institusi kekhalifahan bermula era Khulafa’ al-Rasyidin.
  4. Menceritakan sejarah penubuhan kerajaan ‘Uthmaniyyah secara terperinci berserta gambar-gambar dan peta yang berkaitan.
  5. Penceritaan biografi setiap sultan secara lebih terperinci dan peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan mereka.

Peringkat Tinggi

Judul: Falsafah al-Tarikh al-‘Uthmani

Tulisan: Muhammad Jamil Bayham.

Maklumat rujukan:

  1. Merupakan sebuah karya bahasa Arab.
  2. Cuba membawa idea falsafah sejarah dalam penceritaan sejarah kerajaan ‘Uthmaniyyah.
  3. Menfokuskan kepada sebab-musabab bagi menceritakan sejarah kegemilangan dan kemerosotan kerajaan ‘Uthmaniyyah.
  4. Perbincangan meliputi sejarah awal bangsa Turki sebelum Islam, selepas Islam, bangsa Mongol, kemasukan bangsa Turki dalam Dunia Islam sehinggalah tertubuhnya kerajaan ‘Uthmaniyyah. 
  5. Tidak berdasarkan penceritaan biografi setiap sultan tetapi terdapat juga diselitkan beberapa sultan yang menonjol sepanjang era ‘Uthmaniyyah.

KESIMPULAN

Saya sarankan untuk kita kembali memahami sejarah ‘Uthmaniyyah secara teratur agar pemahaman kita tidak menjadi celaru akibat tidak mengetahui asas-asas utama dalam bidang ini. Seperti mana ilmu agama  memiliki sanad dan karyanya juga terdiri daripada matan, syarah dan hasyiah, pada pendapat saya bidang sejarha ‘Uthmaniyyah pun begitu. Ia perlu difahami mengikut turutannya sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

Walaubagaimanapun, cara ini hanya untuk mereka yang ingin meneroka sumber sejarah ‘Uthmaniyyah yang lebih autentik selepas bahasa Turki ‘Uthmani atau Turki Moden. Andai dapat menguasai bahasa Turki ‘Uthmani, itu adalah lebih baik. 

Setidak-tidaknya sumber berbahasa Inggeris yang ditulis oleh para pengkaji Barat boleh diletakkan di tingkatan yang ketiga selepas bahasa Turki ‘Uthmani dan bahasa Arab. Apabila sumber rujukan tingkatan pertama dan kedua ini telah dikuasai, barulah kita berasa yakin dan tidak goyah untuk membaca dari sumber Barat yang kita ketahui ada yang memiliki agenda tersendiri tatkala menulis tentang sejarah umat Islam.

Penulis merupakan Exco Kajian dan Penerbitan, Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD).                                      

Tentang Penulis

You may also like...