2 Kali Pengepungan Kota Vienna; Cubaan Dawlah Uthmaniyyah Menguasai Eropah

Pendahuluan

Sejarah Dawlah cUthmaniyyah telah mencatatkan pelbagai siri pembukaan dan peluasan wilayah yang cukup giat. Bermula dari wilayah asalnya iaitu di Anatolia (Asia Kecil) sehingga melangkau benua Eropah, Asia dan Afrika.

Menurut Ágoston (2019), dari abad ke-15 sehingga awal abad ke-18M, Dawlah cUthmaniyyah merupakan pemain penting dalam politik di benua Eropah. Ia merupakan satu-satunya kerajaan Islam yang mencabar kekuasaan Kristian Eropah ketika itu. Peluasan wilayah cUthmaniyyah pada abad ke-16M pula telah membentuk geopolitk yang baru di kawasan yang sanagt luas meliputi Eropah Tengah dan Laut Mediterranean sehingga ke Syria, Mesir dan Iraq.

Dawlah cUthmaniyyah di puncak kekuasaannya sehingga tahun 1683M.

Sumber: http://ncvpsapwh2.pbworks.com/w/page/4252184/Chapter%2021%3A%20Muslim%20Empires          

Namun begitu, tulisan ini hanya akan memberikan tumpuan kepada peluasan kuasanya di benua Eropah khususnya dalam cubaan untuk menguasai ‘jantung Eropah’ (the Heart of Europe) yang telah dilakukan oleh Dawlah cUthmaniyyah sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1529M dan tahun 1683M.

Bilakah Pengepungan Pertama dan Kedua kota Vienna?

Menurut Emecen (2013), beliau menyatakan bahawa tarikh lengkap bagi cubaan pembukaan kota Vienna yang pertama ialah pada 27 September tahun 1529M. Ia bersamaan dengan lapan tahun setelah Sultan Suleiman I menaiki takhta iaitu pada 30 September tahun 1520M. Pengepungan pula dilakukan selama 17 hari iaitu sehingga 15 Oktober pada tahun yang sama.

Bagi pengepungan yang kedua pula, Miller (2008) menyatakan bahawa ia berlaku pada 154 tahun selepas itu dan tepatnya pada 13 Julai tahun 1683M selama 56 hari sehingga 12 September tahun yang sama juga. Ia berlaku pada era pemerintahan Sultan Mehmed IV namun bukan baginda sendiri yang memimpin kempen tersebut seperti moyangnya Sultan Suleiman I.

 Lakaran kota Vienna.

Sumber: https://www.sanderusmaps.com/en/our-catalogue/detail/165593/antique-map-of-wien-by-braun-and-hogenberg 

 

Siapakah yang Memimpin Pasukan Uthmaniyyah?

Manakala, dari aspek pimpinan pasukan pula kita dapat melihat terdapat perbezaan bagi kedua-dua peristiwa pengepungan itu. Hal ini disebabkan oleh berlakunya penyerahan tampuk kepimpinan tentera daripada sultan kepada sadrazam yang memegang gelaran serasker bagi kempen ketenteraan kali kedua.

Sultan Suleiman I (1520-1566M) memimpin sendiri pasukan tenteranya sehingga ke luar tembok kota Vienna pada tahun 1529M sebagaimana menurut Wheatcroft (2009). Sebaliknya, Stoye (2006) menyatakan bahawa dalam kempen kedua menuju kota Vienna, Sultan Mehmed IV (1648-1687M) hanya mengikuti rombongan tentera dari kota Istanbul hanya sehingga kota Belgrade sahaja. Di sini, pada 13 Mei 1683M sultan menyerahkan tugas sebagai ketua turus angkatan tentera atau disebut sebagai serasker kepada Kara Mustafa Pasha selaku sadrazam ketika itu.

Ia di adakan dalam sebuah majlis rasmi di mana salah satu daripada tiga panji-panji Nabi Muhammad s.a.w telah diamanahkan kepada Kara Mustafa Pasha. Menurut Wheatcroft (2009), panji-panji tersebut serta barang-barang peninggalan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat dipelihara dan disimpan oleh Dawlah cUthmaniyyah sejak pembukaan Mesir oleh Sultan Selim I pada tahun 1517M.

Poteret Sultan Suleiman I.

Sumber: https://twitter.com/ottomanarchive/status/1030805708881776640 

Poteret Kara Mustafa Pasha.

Sumber: https://www.pinterest.com/pin/308074430732887721/?lp=true  

Berapa Ramaikah Pasukan Tentera yang dihantar?

Tidak dapat dinafikan, dalam kedua-dua ekspedisi ketenteraan menuju kota Vienna melibatkan jumlah pasukan yang cukup besar sebagaimana kebiasaan dalam mana-mana kempen ketenteraan Dawlah cUthmaniyyah.

Ellesmere (1879) menyatakan bahawa pada kempen ketenteraan kali pertama, Sultan Suleimen I sendiri mengetuai seramai 200,000 orang tentera menuju ke kota Vienna. Bukan itu sahaja, sebaik sahaja tiba di Mohács pasukan tambahan seramai 6000 orang yang dihantar oleh raja Hungary yang dilantik cUthmaniyyah iaitu John Zapolya pun tiba. Ia menjadikan jumlah keseluruhan tentera ketika itu 206,000 orang pasukan tentera kesemuanya.

Bagi ekspedisi kedua pula menyaksikan jumlah tentera yang tidak sebesar ekspedisi yang pertama. Miller (2008) menyebut bahawa seramai 15 hingga 20,000 orang tentera bersama Kara Mustafa Pasha mengepung kota, 70,000 orang tentera sebagai pasukan simpanan dan bertindak melindungi pasukan pengepung dan  seramai 25,000 orang tentera pula yang diketuai oleh Emeric Thököly menyerang kota-kota di pinggir Vienna seperti kota Pressburg. Seperti John Zapolya, Emeric Thököly juga merupakan raja Hungary yang diiktiraf oleh Dawlah cUthmaniyyah dan berpihak kepadanya. Jumlah keseluruhaan tentera ketika itu ialah lebih kurang 115,000 orang tentera dan masih tidak mampu menyamai bilangan tentera ketika ekspedisi pertama. Sungguhpun begitu, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan sejarawan tentang bilangan tentera cUthmaniyyah bagi ekspedisi pertama dan kedua.

Gambaran ekspedisi pengepungan kota Vienna kali pertama tahun 1529M.

Sumber: http://margaretearly.com/artworks/the-first-siege-of-vienna

Gambaran ekspedisi pengepungan kota Vienna kali kedua tahun 1683M.

Sumber: https://www.pinterest.com/pin/399905641885505447/?lp=true 

Natijah

Hasil kedua-dua kempen tersebut adalah menghampakan. Kedua-duanya tidak berjaya sebagaimana yang disebutkan oleh Emecen (2013) dan Wheatcroft (2009). Kegagalan ekspedisi yang pertama misalnya telah mengorbankan seramai 15,000 orang tentera (Emecen 2013). Manakala dalam ekspedisi kedua pula telah mengorbankan seramai 25,000 orang tentera (Ellesmere 1879).

Kegagalan ekspedisi ini sangat signifikan bagi Dunia Eropah dan khususnya bagi Dawlah cUthmaniyyah sendiri. Penulis membahagikan impak kempen ketenteraan ini kepada dua iaitu impak jangka masa pendek dan impak jangka masa panjang.

Bagi impak jangka masa pendek, pengkaji melihat kegagalan penguasaan kota Vienna kali pertama sebagai mana menurut Emecen (2013) telah menandakan sempadan terjauh yang berjaya dikuasai oleh Dawlah cUthmaniyyah di Eropah.

Ágoston (2019) pula menyatakan bahawa wilayah selatan Hungary berjaya dikuasai oleh Sultan Suleiman I manakala John Zapolya yang bersekutu dengan Dawlah cUthmaniyyah pula menguasai wilayah timur Hungary sebagai Raja Hungary yang baru. Bagi Raja Ferdinand yang dilantik oleh Empayar Roman Suci pula menguasai wilayah utara dan barat Hungary. Hungary yang pada asalnya memiliki kerajaan sendiri berakhir apabila raja terakhirnya iaitu Raja Louis II terbunuh dalam Peperangan Mohács  pada 29 Ogos tahun 1526M menghadapi Sultan Suleimen I. Akibat daripada Raja Louis II tidak memiliki anak, maka, penguasaan terhadap wilayah Hungary pun dibahagi-bahagikan sebagaimana yang telah disebutkan.

Berbeza pula impak jangka masa pendek bagi kegagalan ekspedisi kedua. Kegagalan tersebut telah membuktikan bahawa kekuasaan Dawlah cUthmaniyyah tidak lagi kuat seperti sebelum ini. Tercetus pula Peperangan Párkány yang melibatkan saki baki tentera cUthmaniyyah yang dipukul mundur dari kota Vienna dipimpin oleh Kara Mehmed Pasha dengan tentera raja Poland John III Sobieski, Charles V, Duke of Lorraine dan Ernst Rüdiger von Starhemberg pada 7 sehingga 9 Oktober 1683M.

Kemenangan dalam peperangan ini telah membolehkan tentera cUthmaniyyah terus dipukul mundur sehingga akhirnya kota Esztergom jatuh ke tengan tentera musuh pada 22 Oktober 1683M (Miller 2008). Sejurus selepas kekalahan ekspedisi pengepungan kota Vienna, pada 25 Disember 1683M Kara Mustafa Pasha dihukum bunuh menerusi perintah daripada Sultan Mehmed IV. Hukuman dijalankan di kota Belgrade (Wheatcroft 2009).

Ilustrasi tentang hukuman mati yang dikenakan kepada Kara Mustafa Pasha.

Sumber: http://www.executedtoday.com/2009/12/25/ 

Apa yang Penting?

Sungguhpun begitu, apa yang lagi penting ialah impak jangka masa panjang bagi kedua-dua peristiwa ini. Ia menunjukkan betapa besarnya peristiwa pengepungan kota Vienna ini baik bagi pihak Dawlah cUthmaniyyah mahupun pihak Empayar Roman Suci.

Bagi peristiwa pengepungan kali pertama, penulis memetik pendapat yang dikeluarkan oleh Krause dan Sonnlechner (2018) yang menyatakan bahawa pasca pengepungan kota Vienna pada tahun 1529M, Empayar Roman Suci giat membina dan meningkatkan pertahanan kota bermula dari tahun 1531M sehingga kira-kira tahun 1564M.

Wheatcroft (2009) pula menambah kesempatan yang diperoleh oleh Empayar Roman Suci akibat daripada para pengganti Sultan Suleiman I tidak memberikan ancaman kepada mereka. Maka, ia telah digunakan sebaik-baiknya. Melaui cukai-cukai baru yang diperkenalkan, projek naik taraf benteng pertahanan Vienna giat dijalankan sehingga pada tahun 1590an, kota Vienna menjadi salah satu kota yang kuat dilengkapi dengan pertahanan yang serba baru dan terkini. Mereka sedar bahawa kejayaan mereka menyelamatkan kota Vienna sebelum ini bukanlah disebabkan oleh kekebalan kubu Vienna dan kelemahan tentera Sultan Suleiman I tetapi disebabkan oleh faktor cuaca. Hujan yang turun dengan lebat dan diikuti dengan salji tebal telah menyebabkan kepungan ditamatkan serta merta (Wheatcroft 2009).

Kepungan terhadap kota Vienna sekali lagi dilakukan pada tahun 1683M. Namun, kegagalan kali ini telah memberikan impak yang begitu mendalam buat Dawlah cUthmaniyyah khususnya. Menurut Miller (2008), kegagalan ekspedisi kedua ini telah menyebabkan satu persatu kota yang dikuasai oleh cUthmaniyyah jatuh ke tangan musuh.

Hal ini juga turut didorong oleh semangat tentera musuh yang telah berjaya menyelamatkan kota Vienna dan terus memukul mundur pasukan Dawlah cUthmaniyyah. Antara kota penting yang jatuh ke tangan musuh ialah kota Buda (1686M), kota Harsány (1687M), kota Slankamen (1691M) dan kota Zenta (1697M). Semuanya berjaya dikuasai semula oleh Empayar Roman Suci dan Dawlah cUthmaniyyah telah kehilangan kota tersebut buat selamanya.

Ágoston (2010) pula menyebut tentang satu perjanjian yang telah mencorakkan semula garis persempadanan Dawlah cUthmaniyyah – Empayar Roman Suci iaitu Perjanjian Karlowitz yang termetrai pada 26 Januari 1699M. Ia menandakan sebahagian besar wilayah kekuasaan Dawlah cUthmaniyyah di Eropah Tengah kembali jatuh ke tangan Empayar Roman Suci sebagaimana yang ditunjukkan pada peta di bawah.

Wilayah Dawlah Uthmaniyyah jatuh ke tangan Empayar Roman Suci Pasca Kekalahan di Vienna pada tahun 1683M.

Sumber: https://www.reddit.com/r/MapPorn/comments/b09q0a/ottoman_defeat_and_territorial_losses_after/

Kesimpulan

Jelaslah bahawa Dawlah Uthmaniyyah telah cuba untuk menjadi sebuah kuasa politik umat Islam yang kuat di Eropah. Apabila kota Vienna berjaya dibuka, sudah pasti pintu untuk mereka terus menguasai Eropah akan terbuka apatah lagi untuk terus menuju ke kota Rome. Namun, takdir Allah s.w.t telah menentukan sebaliknya. Moga ibrahnya dapat diambil oleh kita agar sejarah yang sama tidak berulang kembali. 

 

Rujukan

Ahmad bin Zaini Dahlan. 1997. Al-Futuhat al-Islamiyyah ba’d Mudhi al-Futuhat al-Nabawiyyah. Bayrut: Dar Sadir.

Ahmed Akgunduz & Said Ozturk. 2011. Ottoman History; Misperceptions and Truths. Rotterdam: IUR Press.

Al-Sallabi, cAli Muhammad Muhammad. 2003. Safahat Musyriqah min al-Tarikh al-Islami. Iskandariyyah: Dar al-Iman.

André Clot. 2012. Suleiman the Magnificent. Terj. London: Saqi Books.

Andrew Wheatcroft. 2008. The Enemy at the Gate Habsburgs, Ottomans and the Battle for Europe. New York: Basic Books.

Feridun Emecen. 2013. Sulaiman al-Qanuni Sultan al-Barraini wa al-Bahraini. Terj. Al-Qahirah: Dar al-Nail li al-Thiba’ah wa al-Nasyr.

Gábor Ágoston. 2019. Ottoman and Habsburg Military Affairs in the age of Süleyman the Magnificent. Dlm. Pál Fodor (pnyt.). The Battle for Central Europe: The Siege of Szigetvár and the Death of Süleyman the Magnificent and Nicholas Zrínyi (1566), hlm. 287-307. Leiden: Brill Publishers.

Heike Krause & Christoph Sonnlechner. 2018. Landscape and Fortification of Vienna after the Ottoman Siege of 1529. The Hungarian Historical Review (7)3: 451-476.

John Stoye. 2006. The Seige of Vienna; The Last Great Trial Between Cross & Cresent. New York: Pegasus Books  LLC.

Simon Millar. 2008. Vienna 1683; Christian Europe Repels the Ottomans.        Oxford: Osprey Publishing.

The Earl of Ellesmere. 1879. The Sieges of Vienna by the Turks. Terj, London: William Clows and Sons.

 

You may also like...